Tempatan

Terengganu Fatwa Ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem Sesat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU, 17 November 2023 – Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu memfatwakan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem sebagai sesat dan bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulama al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.

Menurut Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Haji Mohamad Sabri Haron, mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah haram.

Kata beliau dalam satu kenyataan, ajaran tersebut merupakan fahaman ekstremis agama atau golongan pelampau (ghuluw) yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Apa-apa publisiti, pengajaran atau penyiaran sama ada dalam bentuk bersemuka, atau melalui media sosial atau dalam apa-apa bentuk yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan agar sebarang penulisan atau penerbitan bahan bercetak atau sebarang yang berkaitan dengan ajaran tersebut turut tidak dibenarkan dan hendaklah disekat.

Kata beliau lagi, mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah tidak dibenarkan berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai kaitan dengan ajaran itu.

Antara ciri-ciri penyelewengan dalam ajaran tersebut ialah dakwaan bahawa Allah S.W.T Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu jika Allah S.W.T menghendaki mengadakan anak untuk diriNya, Dia Maha Berkuasa menciptanya.

Jelas beliau, dakwaan tersebut merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami bahawa Allah S.W.T harus mempunyai anak sedangkan jelas Allah S.W.T mustahil mempunyai anak.

Malah, ajaran tersebut turut mendakwa bahawa golongan al-Asya’irah adalah sama dengan golongan Yahudi, Jahmiyyah, Mu’tazilah, Musyrikin dan penyembah lembu.

Justeru, Mohamad Sabri menyeru agar mereka yang berpegang, mempercayai, mengajar, belajar, menyebarkan atau mengamalkan ajaran tersebut untuk segera bertaubat kepada Allah S.W.T dan pihak berkuasa berhak untuk mengadakan sesi pemulihan kepada mereka.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: