Antarabangsa

Tercabar Lawatan Pelosi, China Lancar Peluru Berpandu Berdekatan Taiwan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BEIJING, 05 Ogos 2022 – China melancarkan 11 peluru berpandu sekitar perairan pantai timur laut dan barat daya Taiwan sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan terbesar berikutan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke pulau itu.

Menurut Komando Teater Timur Tentera China dalam satu kenyataan, latihan tersebut memberi tumpuan kepada sesi latihan utama termasuk sekatan bersama, serangan sasaran laut, serangan ke atas sasaran darat dan operasi kawalan ruang udara.

Susulan pelancaran peluru berpandu balistik dan latihan ketenteraan China, Kementerian Pertahanan Taiwan telah mengaktifkan sistem pertahanan dan memantau rapat situasi tersebut.

Kementerian Luar Taiwan menuduh China mengikut contoh Korea Utara dengan sengaja melancarkan ujian peluru berpandu berhampiran perairan negara lain.

Dalam pada itu, pelancaran peluru berpandu China juga menyebabkan gangguan kepada laluan perkapalan dan penerbangan ke dan dari Taiwan.

Kapal-kapal terpaksa membuat laluan semula dan mengalami gangguan selama beberapa hari yang mana dijangka akan memberi kesan kepada rantaian bekalan dengan kelewatan kepada penghantaran global.

Selain itu, lebih 50 penerbangan antarabangsa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan Taiwan dilaporkan telah dibatalkan.

Lawatan Pelosi yang merupakan pegawai tertinggi AS dan juga barisan kedua selepas jawatan presiden ke Taiwan dalam tempoh 25 tahun itu telah mencetuskan ribut diplomatik.

Kerajaan China melihat lawatan itu sebagai satu cabaran kepada tuntutan kedaulatannya ke atas Taiwan walaupun AS tidak mengiktiraf Taiwan secara rasmi.

Sebelum ini, Kementerian Luar Rusia juga mengeluarkan kenyataan dengan berkata bahawa lawatan Nancy Pelosi adalah provokasi yang jelas, yang sejajar dengan dasar agresif Amerika Syarikat yang bertujuan untuk mengawal China secara menyeluruh.

Pelosi kini dilaporkan berada di Jepun untuk peringkat terakhir jelajah Asianya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: