Tenun Pahang Diraja Diangkat Ke Pentas Dunia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LONDON, 11 Mei 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengetuai delegasi bagi mempromosi dan mempamerkan tekstil Tenun Pahang Diraja ke pentas dunia di Minggu Kraf London (LCW), yang berlangsung dari 9 hingga 15 Mei ini.
Bertemakan “Menyulam Harapan” (Weaving Hope), keindahan Tenun Pahang Diraja yang julung kali dipamerkan kepada dunia itu mengetengahkan program tenunan dari penjara, yang menampilkan tenunan tradisional lengkap dengan penenun bertugas, fabrik arkib dari Muzium Pahang dan pilihan pakaian Seri Paduka Baginda sendiri, serta koleksi tenun peribadi.
“Semua ini adalah berkaitan menyulam harapan. Kisah ini sendiri adalah mengenai harapan hari ini… kami berharap dapat menghidupkan semula sulaman Tenun Pahang,” titah Seri Paduka Baginda semasa melancarkan Pameran Tenun Pahang Diraja di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London.
Seri Paduka Baginda yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja menzahirkan harapan agar Tenun Pahang dapat dihidupkan semula, serta dapat bertahan di samping memberi sinar baharu kepada banduan menerusi program tenunan penjara.
Menurut Seri Paduka Baginda, kini jumlah penenun sudah meningkat kepada 200 orang penenun berbanding pada 2006 yang hanya mempunyai 15 penenun lama di Pahang.
Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Jabatan Penjara, Institut Kraf Negara dan jabatan berkaitan, kerana ‘memberi harapan dan peluang kedua’ bukan sahaja untuk industri tenunan tertua untuk terus hidup, malah juga untuk membina kehidupan baharu bagi banduan.
“Senyuman di wajah mereka mencairkan hati saya. Saya melayan mereka seperti kawan. Selain menenun, mereka juga diajar memasak. Harapan paling besar (mereka) ialah diberi harapan untuk menjadi insan yang lebih baik, yang berkemahiran, dan memulihkan mereka agar dapat kembali kepada masyarakat sebaik sahaja mereka dibebaskan dari penjara,” titah Seri Paduka Baginda.
Mengambil alih tugas Tenun Pahang sejak tahun 2005, Seri Paduka Baginda dalam titahnya menyuarakan rasa cukup teruja terhadap prospek mempamerkan tradisi tenunan Pahang yang berkurun lamanya, disifatkan baginda sebagai “membawa Penjara Penor dan Penjara Bentong (kedua-duanya di Pahang) ke London”.
Seri Paduka Baginda bertitah, tenunan itu dibawa baginda dari penjara, kerana Seri Paduka Baginda mahu dunia tahu mengenai kerja-kerja yang dilakukan mereka.
“Kita latih mereka (banduan), untuk menyediakan mereka apabila dibebaskan nanti, untuk kelangsungan hidup mereka. Ini adalah sebahagian daripada persediaan kami untuk pembinaan Perkampungan Al-Sultan Abdullah yang akan dibangunkan di Pekan iaitu sebuah pusat tumpuan yang boleh didatangi semua bekas banduan. Kita sediakan bengkel bagi membantu mereka menjual hasil tangan mereka.”
Hadir sama di majlis pelancaran ini, Menteri Luar, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Zakri Jaafar; Komisioner Jeneral Jabatan Penjara, Dato’ Nordin Muhammad; Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Malaysia adalah salah sebuah daripada dua negara yang terpilih untuk menjayakan Pavilion Negara selain daripada Norway, yang ditampilkan bagi mengukuhkan festival itu sebagai platform berkongsi perspektif global, dan menyerlahkan perhatian terhadap London sebagai hab antarabangsa untuk mempertemukan pembuat dan kreativiti cemerlang dari seluruh dunia.