Tentera Udara Amerika Diarah Guna Terma Neutral Jantina
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AMERIKA SYARIKAT, 02 September 2022 – Para pegawai Tentera Udara Amerika Syarikat dilaporkan telah diarah untuk menggunakan bahasa yang bersifat ‘gender-neutral’ dalam laporan bertulis mereka.
Arahan ini adalah di bawah polisi yang didakwa oleh pihak atasan sebagai usaha untuk meningkatkan “daya kekuatan peperangan” tentera Amerika Syarikat (AS).
“Kita mesti menerima, mempromosi dan meluaskan potensi kepelbagaian serta penyertaan,” menurut sebuah emel yang merupakan arahan terhadap para pegawai di Pengkalan Tentera Udara Andersen di Guam.
Salinan sebahagian arahan tersebut telah berjaya diperolehi dan diterbitkan oleh The Washington Free Beacon, sebuah laman web kewartawanan politik konservatif Amerika.
Berdasarkan arahan tersebut, para komander adalah dilarang bagi menggunakan perkataan yang merujuk kepada kata ganti nama, jantina, umur ataupun bangsa pada dokumen-dokumen seperti ulasan prestasi dan cadangan pemberian anugerah.
Misalnya, seseorang itu tidak dibenarkan menggunakan kata ganti nama ‘he’ ataupun ‘she’, tetapi hendaklah menggunakan perkataan seperti ‘sarjan ini’ ataupun ‘anggota ini’. Para komander juga tidak dibenarkan untuk menggunakan ayat yang mempunyai unsur perbezaan seperti “sarjan termuda yang telah mencapai sesuatu”, atau “anggota wanita terkuat di dalam unit”.
Arahan tersebut adalah kesan daripada desakan yang dibuat oleh pentadbiran Joe Biden dan Pentagon dalam menjadikan tentera AS bersifat lebih ‘inklusif’.
Pada Febuari lalu, seramai dua belas senator dari parti Republikan telah mengeluarkan kenyataan menyataan bahawa Pentagon telah menggunakan 6 juta masa bekerja dalam memberi latihan dalam hal kepelbagaian, kesamarataan dan inklusi.