Tempatan

Agong Dan Permaisuri Rasmi Pusat Hemodialisis YASA Ke-3

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

PEKAN, 12 Disember 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah di Pekan, Pahang semalam.

Menurut Facebook Istana Negara, Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah Pekan itu merupakan pusat rawatan yang ketiga ditubuhkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) selepas pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang pertama di Cheras pada 7 Ogos 2019 dan yang kedua di Setiawangsa, Wilayah Persekutuan pada 12 Ogos 2020.

Seri Paduka Baginda berdua terdorong menubuhkan pusat hemodialisis itu kerana prihatin dengan pesakit buah pinggang kronik daripada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, bagi meringankan beban kewangan pesakit terlibat.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada jam 11.00 pagi disambut YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail, YBhg. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dato’ Sri Sallehuddin bin Ishak dan YB Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang Dato’ Sri Norol Azali bin Sulaiman.

Berangkat sama ke majlis perasmian ini, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir, YBhg. Sahibus Samahah Mufti Pahang Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Osman, YBhg. Pegawai Daerah Pekan Dato’ Zaliza bin Zulkipli dan YBhg. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dato’ Ahmad Hairi bin Hussain.

Usai majlis perasmian, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit-pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis itu.

Pesakit-pesakit terdiri daripada golongan M40 dan B40 di daerah Pekan.

Untuk pengetahuan, pusat hemodialisis itu dikendalikan anak syarikat milik penuh MUIP Holdings Sdn Bhd, Klinik Al-Amin Sdn Bhd beroperasi 7 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Sabtu, dilengkapi dengan 12 mesin dialisis dan berkemampuan mengendalikan lebih 100 pesakit setiap minggu.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: