Tengku Mahkota Pahang Seru Umat Islam Jadikan Al-Quran Sebagai Bahan Bacaan Utama Setiap Isi Rumah
KUANTAN, 29 Mei 2024 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyeru setiap umat Islam untuk menjadikan Al-Quran sebagai bahan bacaan utama setiap isi rumah.
Tengku Mahkota Pahang bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1445H/2024M yang bertempat di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, semalam.
Titah Kebawah Duli Paduka Mulia, setiap isi rumah bukan sahaja perlu ada kitab suci Al-Quran, tetapi juga naskhah tafsir Al-Quran.
“Wujudkan waktu tertentu untuk setiap ahli keluarga duduk membaca dan tadabbur al-quran ini secara berjemaah.”
“Semoga usaha dari setiap isi rumah umat Islam ini akan menjadikan negara kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala sebagaimana firmannya dalam surah Al A’raf, ayat 204”
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah terdahulu berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1445H/2024M sebagai wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Mulia berkenan menyampaikan Titah Diraja dan mengurniakan hadiah kepada para pemenang.
Pada tahun ini, MTHQK mengangkat tema tilawah ‘Al-Quran Dihayati Negara Diberkati’ yang menyoroti pentingnya Al-Quran dalam membentuk dan memandu sebuah negara. Sesungguhnya, keberkatan suatu negara tidak terlepas dari hubungannya dengan Al-Quran sebagai sumber pedoman dan inspirasi.