Tempatan

Tengku Hassanal Berkenan Santuni & Kurnia Sumbangan Kepada Keluarga Asnaf Lipis

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

LIPIS, 07 Oktober 2021 – Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 12 buah keluarga asnaf di Agropolitan Gahai dan Kampung Tanjung Gahai pagi semalam.

Sumbangan itu diserahkan sewaktu baginda berkenan menyantuni penduduk di kedua-dua buah kawasan tersebut.

“Hari ini saya berkesempatan membawa Tuanku menjelajah (kawasan berkenaan) di mana Tuanku dapat melihat dan meninjau sendiri keadaan penduduk di sini,” kata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail seperti dilaporkan Pahang Media.

“Tuanku nampak gembira kerana Agropolitan Gahai ni asalnya mereka yang tidak ada rumah, tapi atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ketika itu telah menyediakan peruntukan (tanah dan kewangan) di mana penduduk yang kurang bernasib baik telah dapat dipindahkan ke situ. Rumah diberikan secara percuma dan ada ladang getah seluas enam ekar sebagai sumber pencarian mereka,” tambahnya.

Ujar Wan Rosdy, KDYMM Pemangku Raja Pahang juga telah menjelajah ke sekitar Kampung Tanjung Gahai di mana sebelum tahun 2008, hanya sungai menjadi jalan perhubungan iaitu dengan menggunakan feri atau boya.

“Sekali lagi sebagai wakil rakyat (Ahli Dewan Negeri) Jelai, saya berterima kasih kepada Tuanku yang sudi bercemar duli ke sini,” ujarnya.

“Terima kasih juga kepada Pegawai Daerah, JKKK serta kepada semua penduduk kampung yang terlibat secara langsung sempena keberangkatan Tuanku ke daerah ini. Apa yang penting rakyat dapat bersama-sama Tuanku hari ini.”

Dalam kunjungan semalam, selain YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, baginda turut diiringi YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Salehuddin Ishak.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain; Pegawai Daerah Lipis, YH Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim serta Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: