Tempatan

Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Dikurniakan Gelaran Tengku Panglima Perang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PEKAN, 02 Ogos 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan gelaran baharu kepada anakanda baginda, Yang Amat Mulia Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah iaitu Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang.

Gelaran baharu itu diumumkan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika bertitah pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, semalam.

Baginda bertitah, penggunaan gelaran YAM Tengku Panglima Perang tersebut berkuatkuasa mulai 01 Ogos 2022.

Baginda dalam titahnya juga mendoakan semoga dengan kurniaan ini, YAM Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah yang bergelar Tengku Panglima Perang akan mencontohi YAM Almarhum Tengku Muhammad yang telah banyak berjasa kepada negara dan Negeri Pahang khususnya.

“YAM Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah merupakan cicinda kepada Tengku Panglima Perang yang kedua iaitu YAM Almarhum Tengku Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah.”

“Berdasarkan sejarah, YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad pernah memegang jawatan sebagai Pelatih Pegawai Melayu bagi Negeri Pahang pada tahun 1918, Penolong Pesuruhjaya Polis Kerajaan Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1920, Juruiring Khas kepada Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu pada tahun 1924, Penolong Pesuruhjaya Polis Terengganu pada tahun 1925, Setiausaha Melayu pada tahun 1934, Ahli Mesyuarat Negeri Pahang pada tahun 1937, Menteri Besar Terengganu pada tahun 1948 dan Menteri Besar Pahang pada tahun 1951,” titah baginda.

Baru-baru ini, dimaklumkan bahawa YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru sahaja menamatkan pengajiaan dan telah dianugerahkan ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kriminologi and Sosiologi.

Leave a Reply

Back to top button