Antarabangsa

Tempoh Visa Umrah Dilanjutkan Hingga Tiga Bulan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TASHKENT, 03 Oktober 2022 – Tempoh visa umrah bagi semua jemaah dari seluruh dunia telah dilanjutkan daripada satu bulan kepada tiga bulan, kata Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Al-Rabiah.

Lapor agensi berita Saudi, pengumuman ini dibuat semasa lawatan rasmi dua harinya ke Tashkent, Uzbekistan di mana beliau telah berjumpa dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di penghujung lawatan itu.

Selain mendoakan kemakmuran negara tersebut, beliau menekankan bahawa lawatan itu adalah lanjutan daripada hubungan bersejarah antara kedua-dua negara di samping termeterai beberapa perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perjanjian yang dibuat mencerminkan usaha besar kepimpinan kerajaan Saudi untuk berkhidmat kepada Islam dan umatnya sekali gus memudahkan prosedur untuk jemaah haji dan umrah menunaikan ibadah di bumi Haramain.

Tambahnya, Uzberkistan telah merekodkan kehadiran seramai 12,000 jemaah haji pada tahun ini dan lebih 36,000 jemaah umrah dalam tempoh dua bulan lalu. Majoriti mereka juga berkesempatan melawat Madinah, menunaikan solat di Raudhah dan melawat tempat keagamaan dan bersejarah di kota suci itu.

Beliau turut berbincang mengenai langkah untuk mengadaptasikan semua perkhidmatan dan program yang ditawarkan secara elektronik, menerusi platform Nusuk dan mengeluarkan permit ziarah dan visa umrah dengan segera.

Dalam lawatan tersebut, menteri itu turut menyampaikan salam daripada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Saudi Mohammed bin Salman kepada Presiden Mirziyoyev, kerajaan serta rakyat Uzbekistan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: