Tempahan Prosedur Gugur Bayi Percuma Dibuka Sewaktu Konvensyen Demokratik
RABU, 21 Ogos 2024 – Sebuah klinik bergerak menawarkan sesi pengguguran janin dan juga prosedur vasektomi secara percuma di luar kawasan di mana berlangsungnya Democratic National Convention (DNC) yang bertempat di Chicago, Amerika Syarikat (AS).
Tawaran tersebut telah mendapat tempahan penuh sebelum berlangsungnya konvensyen tersebut sebagaimana yang telah diumumkan oleh pihak penganjur.
Planned Parenthood, sebuah badan terbesar AS yang menyediakan khidmat pengguguran telah mengumumkan pada Rabu lalu bahawa pihak mereka akan menghantar klinik bergerak ke Chicago pada Isnin dan Selasa.
Klinik bergerak yang diletakkan berhampiran konvensyen itu telahpun menerima senarai menunggu untuk proses vasektomi sebagaimana yang diumumkan oleh badan tersebut menerusi laman sosial X.
Pada hari Ahad pula, sehari sebelum bermulanya konvensyen tersebut, Planned Parenthood telah menyatakan bahawa “kesemua sesi vasektomi dan pengguguran telah penuh”.
Timbalan Presiden AS, Kamala Harris yang juga merupakan calon parti Demokratik bagi pilihanraya Presiden pada November ini telah menggesa Kongres untuk meluluskan undang-undang yang menjamin akses untuk menggugurkan janin di seluruh negara.