Tempatan

Teliti Keperluan Pasport Vaksin – Puan Azlinda Baroni (NAJM)

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2021 – “Persoalan selanjutnya, mengapa diwujudkan keperluan kepada penggunaan pasport vaksin? Mengapakah tidak diteruskan praktis keperluan mengambil suntikan sahaja jika perlu misalnya, keperluan suntikan vaksin umrah, yang sudah digunapakai sebelum ini. Tidak perlu pun ada pasport vaksin umrah.”

Demikian persoalan oleh Teraju Baiduri Angkatan Kebangsaan Kesaksamaan Malaysia (NAJM), Puan Azlinda Baroni dalam isu pasport vaksin.

Ujar beliau, pasport vaksin ini mesti segera diteliti bagi menilai kewajaran dan keperluannya di skala kebolehgunaan yang praktis oleh masyarakat umum dalam negara kita.

Tambahan pula, dalam negara kita sendiri perkara ini hanya baharu diperkatakan kepada khalayak umum pada bulan Februari tahun ini.

“Ini bukan perkara ringan dan mudah yang boleh dibuat secara terburu-buru dan tergesa-gesa.”

Katanya lagi, umum dalam pengetahuan semua bahawa perkara tersebut ialah suatu perkara yang sangat baharu yang mula diperkenalkan di peringkat antarabangsa dan tempatan oleh beberapa negara bagi mempertimbangkan kemasukan orang asing ke dalam negara mereka.

“Khususnya di kalangan negara Eropah yang tidak menilai penggunaan vaksin buatan negara China sebagai sesuatu yang bagus yang diterima mereka melainkan vaksin keluaran negara Eropah sendiri.”

Tegas Puan Azlinda, pandangan Badan Kesihatan Dunia (WHO) tentang pasport vaksin perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh kerajaan dan pembuat dasar negara.

“Ia perlu sesuai dengan peruntukan undang-undang negara khususnya peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan sama ada boleh dibuat atau digubal undang-undang berkenaan ataupun dilaksanakan mengikut acuan keadaan tempatan.”

“Jika tidak, perkara ini akan mewujudkan satu bentuk apartheid perubatan.”

Mengulas lanjut, Puan Azlinda juga mempersoalkan keperluan pasport vaksin.

“Dalam negara kita sendiri, ura-ura melaksanakan pasport vaksin telah dinyatakan bukan sahaja di peringkat Kerajaan Persekutuan malah oleh Kerajaan Negeri dalam keadaan di mana “pasport vaksin bagi mereka yang telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.”

Ditanya mengenai bolehkah mereka yang terkesan dengan undang-undang ini mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan, Puan Azlinda menjawab;

“Ada persoalan utama yang mesti difikirkan dengan mendalam iaitu, di manakah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing mendapat punca kuasa yang membolehkan kerajaan melaksana penggunaan pasport vaksin ini ke atas rakyat?”

“Persoalan seterusnya, adakah kerajaan akan melaksanakan penggunaan pasport vaksin ke atas semua pengunjung luar negara yang masuk ke Malaysia kemudian nanti?”

Menurut beliau, ada berita melaporkan bahawa WHO tidak bersetuju membuat pasport vaksin untuk perjalanan antarabangsa.

Bukan itu sahaja, Puan Azlinda yang juga merupakan seorang peguam ini juga mahu tahu sama ada kerajaan sudah mempunyai langkah-langkah tertentu atau kertas putih mengenai pasport vaksin.

“Apakah sudah ada langkah-langkah tertentu dibuat oleh pihak kerajaan dalam menyiapkan satu mekanisme yang berstruktur kepada usaha mereka untuk mewujudkan pasport vaksin ini?”

“Adakah sebarang kertas putih disediakan di pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun lain-lain kementerian berkaitan?”

“Apakah Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Peguam Negara sudah atau sedang meneliti undang-undang terkait kebebasan pergerakan warganegara Persekutuan dengan perlaksanaan pasport vaksin ini supaya isu kebebasan bergerak dan isu diskriminasi pergerakan berkenaan kegiatan harian warganegara tidak terkesan dengan buruk atau berat sebelah akibat perlaksanaan pasport vaksin?”

Ujarnya lagi, badan-badan khusus yang menjaga hak asasi kemanusiaan di Malaysia misalnya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sewajarnya pada ketika ini sudah mempunyai satu kertas cadangan atau kertas putih yang membincangkan, meneliti, mengkaji dan memberi cadangan-cadangan proaktif dan membina tentang keperluan dan kewarasan menggunakan pasport vaksin ini serta meneliti sama ada pasport vaksin ini adalah selaras atau tidak dengan peruntukan undang-undang Persekutuan negara kita.

Tegas beliau, peranan paling besar yang dipertanggungjawabkan dengan amanah menjaga maslahah warganegara adalah atas pundak setiap pemimpin di dalam badan Eksekutif dan Legislatif Persekutuan dan di mana pihak pengurusan negara di bawah KSN merupakan kakitangan pentadbiran yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan.

Justeru, kesemua persoalan-persoalan di atas sangat perlu ditanyakan supaya jawaban kepadanya boleh diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Pada peringkat ini, menyuarakan persoalan-persoalan tersebut dan peranan sebagai pendesak merupakan fungsi utama yang boleh digiatkan oleh aktivis-aktivis di kalangan pertubuhan dan pergerakan bukan kerajaan di luar sana, dan ini termasuklah di pihak penggerak NAJM sendiri. Selebihnya terletak di bahu pemimpin dan pembuat dasar negara.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: