Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan Dalam Bahasa Melayu Penting – Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 04 Disember 2021 – “Teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu penting kerana tafsiran undang-undang dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu didasarkan pada sistem semantik atau makna dalam Bahasa Melayu,” jelas Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Menurutnya, sistem makna Bahasa Melayu berkaitan dengan etos Melayu yang meliputi pandangan sarwa (world view), sistem nilai, budaya dan adat Melayu.
Ujar beliau, teks sahih dalam Bahasa Inggeris jelas berdasarkan pandangan sarwa dan sistem nilai asing yang sebahagiannya tidak sesuai dengan pandangan sarwa dan sistem nilai Melayu.
“Kedudukan sah Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan telah pun dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka wajar teks sahih Perlembagaan Persekutuan adalah dalam Bahasa Melayu,” tegasnya.
Beliau berkata, mungkin banyak pihak yang tidak tahu ketika ini teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan masih lagi dalam Bahasa Inggeris dan mungkin banyak juga yang tidak mengambil tahu kerana isu bahasa tidak dianggap penting oleh sesetengah pihak.
Meskipun perjuangan bahasa tidak mendatangkan laba mata benda dan bahasa sering diremehkan, bahasa dan akal ialah nikmat paling besar daripada Allah SWT.
Tambah beliau, ada juga beberapa buah persatuan dan orang perseorangan yang membincangkan isu itu dengan DBP.
Walau bagaimanapun, hanya pihak berwajib, khasnya Jabatan Peguam Negara yang dapat memberikan rasional tentang sebab teks sahih Perlembagaan Persekutuan masih dalam Bahasa Inggeris sesudah negara merdeka 64 tahun.
“Ulasan saya ialah bahawa hal itu seolah-olah menggambarkan rasa tidak yakin pihak berwibawa undang-undang negara tentang Bahasa Melayu.”
Beliau yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, timbul rasa hairan juga mengapa sidang Dewan Rakyat tidak membincangkan isu itu dan membuat keputusan untuk meminta pihak berwibawa itu mengemukakan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan.
Walhal, Parlimen ialah badan penggubal undang-undang yang berwibawa dan bertanggungjawab untuk membuat usul dan keputusan penting seperti isu itu.
Jelas beliau lagi, daripada apa yang difahamkan teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sudah pun disahihkan lama dahulu dan begitulah maklumat yang diberikan kepada DBP oleh Jabatan Peguam Negara.
Teks sahih dalam Bahasa Melayu itu hanya perlu mendapat perkenan YDPA dan dilaksanakan sahaja, namun mengapa tempoh yang lama diambil tidak dapat dipastikan,” ujarnya.
Ditanya, apakah tindakan dan peranan DBP yang telah dilakukan dan akan dilakukan dalam merealisasikan isu ini agar dapat dilaksanakan segera, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan menjawab, tugas menyediakan teks sahih Perlembagaan Persekutuan ialah tanggungjawab Jabatan Peguam Negara.
“DBP tidak ada kuasa dalam hal itu tetapi proaktif dalam mendesak perubahan ke arah itu, khasnya melalui wakil tetap Jabatan Peguam Negara dalam Lembaga Pengelola DBP.”
“Selain itu, DBP memberikan kerjasama dalam hal yang melibatkan kepakaran bahasa seperti peristilahan dan terjemahan,” katanya kepada wartawan Samudera.my.
Implikasi menjadikan teks Bahasa Inggeris sebagai teks sahih terlihat dalam kes-kes di mahkamah seperti tafsiran kata “parents” yang dalam Bahasa Melayu jelas apabila kita merujuk kepada “ibu bapa”.
“Apa yang dikhuatiri, kesan kalau teks sahih Perlembagaan Persekutuan ini masih kekal berterusan dalam Bahasa Inggeris selama beberapa dekad lagi, maka erti kedaulatan negara dan kemerdekaan sejati tidak terpenuhi dengan erti kata yang sebenarnya,” ujar Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengakhiri perbualan.