Tempatan

Teks Sahih Perlembagaan Bahasa Melayu: Sekarang Bukan Isu Terjemah, Tetapi Pelaksanaan – Dato’ Julita Ilhani

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 25 November 2021 – “Teks sahih Perlembagaan Persekutuan Malaysia dalam Bahasa Melayu telah dilancarkan pada 2003 lagi tetapi belum digunakan sepenuhnya setakat ini.”

“Jadi sekarang ini ianya bukan isu menterjemah tapi isu pelaksanaan,” ujar Kursi Teraju Perdana NAJM Dato’ Julita Ilhani Binti Dato’ Sri Abd Jabbar.

Menurutnya, Pejabat Peguam Negara telah pun menterjemahkan teks Perlembagaan Persekutuan ke dalam Bahasa Melayu dan ianya telah dilancarkan pada 2003 oleh KDYMM YDPA.

Apa yang membimbangkan beliau sekarang ini adalah impak negatif yang akan berlaku sekiranya teks sahih Perlembagaan dalam Bahasa Inggeris terus digunakan mengetepikan teks sahih dalam Bahasa Kebangsaan.

“Saya sudah nampak beberapa kejadian yang menjurus ke arah menghilangkan roh Islam dan Melayu ini dari Perlembagaan Persekutuan Malaysia termasuklah jika berterusan menggunakan teks sahih yang merupakan dokumen tertinggi negara ini di dalam Bahasa Inggeris.”

“Saya bimbang akhirnya nanti konteks undang-undang Malaysia yang berdasarkan cara hidup dan budaya orang Malaysia khususnya yang berlandaskan agama Islam dan adat Melayu akan ditinggalkan dan digantikan dengan budaya luar yang kemudiannya mungkin boleh mengkucar-kacirkan negara jika tiada inisiatif dilakukan dari sekarang.”

Ulas beliau lagi, apa yang pasti, ramai rakyat masih tidak tahu teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan yang digunakan ketika ini adalah dalam Bahasa Inggeris.

“Malah, di kalangan pengamal undang-undang sendiri pun masih ramai yang tidak menyedari tentang perkara ini terutama mereka yang tidak beramal dalam bidang Undang-Undang Perlembagaan mahupun Sivil dan Jenayah ataupun Syariah.”

Mengulas lanjut, pengerusi NGO itu menambah, kerja-kerja penterjemahan undang-undang biasanya dibuat oleh Pejabat Peguam Negara dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Saya sendiri pernah terlibat dalam perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka.”

“Penterjemah yang terdiri daripada pengamal undang-undang dan pakar bahasa akan bersama-sama melaksanakannya.”

Oleh itu, tanggungjawab melaksanakan teks sahih Perlembagaan ke dalam Bahasa Melayu perlu dilaksanakan dengan segera agar kita dapat memartabatkan Bahasa Melayu, Bahasa Kebangsaan yang menjadi bahasa ibunda Negara Malaysia, ujarnya mengakhiri perbualan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button