Teks Perlembagaan BM: Tidak Sah Tanpa Persetujuan Sabah, Sarawak – Wilfred Madius Tangau
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 18 Januari 2023 – Langkah untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan berbahasa Melayu sebagai teks berotoriti tidak akan sah tanpa kelulusan Sabah dan Sarawak, kata Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata, Perkara 161 (3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa Bahasa Inggeris kekal sebagai bahasa yang digunakan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak melainkan perubahan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing.
BACA JUGA: “It’s just kissing”, Pengasas Bersama Undi18 Pertahan Filem “Pulau”
BACA JUGA: Tol Percuma Jumaat dan Sabtu Ini
BACA JUGA: ‘Pulau’ Lucah & Berlebihan, Bekas Menteri Pelik Kerajaan Senyap
“Oleh itu, meminda dan menjadikan BM sebagai teks berotoriti tanpa persetujuan daripada Sabah dan Sarawak boleh dicabar sebagai tindakan tidak berperlembagaan kerana ia bertentangan dengan niat dan semangat peruntukan ini dalam undang-undang tertinggi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, cadangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) itu masih belum dibentangkan di Parlimen mahupun DUN di Sabah dan Sarawak untuk diteliti atau dibahaskan.
Jelasnya, pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Bahasa Melayu merupakan satu pindaan yang besar dan tanggungjawabnya tidak hanya bergantung kepada AGC semata-mata.
“Ia adalah kuasa dan kewajipan untuk dikongsi oleh ketiga-tiga cabang Kerajaan, termasuk badan perundangan dan kehakiman di peringkat Persekutuan, negeri dan wilayah,” katanya.
Berikutan itu, beliau menyarankan agar sidang khas Parlimen dan DUN diadakan bagi membahaskan cadangan tersebut serta pembentukan jawatankuasa pilihan khas untuk proses terjemahan.
Beliau juga menyeru AGC untuk berbincang dengan pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan mereka serta melakukan tinjauan awam berhubung cadangan tersebut.
Awal bulan lalu, Peguam Negara, Idrus Harun mencadangkan kepada pihak Kerajaan untuk menjadikan Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu sebagai teks berotoriti.