Tempatan

Teks Bahasa Melayu Perlembagaan, Peguam Negara Harus Jawab – Azlinda Baroni NAJM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 November 2021- Teraju Baiduri NAJM Puan Azlinda Baroni menyatakan, teks sahih Perlembagaan ini sebenarnya sudah hampir 20 tahun disempurnakan kesahihannya tetapi mengapa masih menunggu untuk dilaksanakan?

Menurut beliau, berita bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan akan menggantikan teks sahih dalam Bahasa Inggeris sudah dilaporkan sejak tahun 2003 lagi setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001 dilaksanakan dengan menambah Perkara 160B.

“Perkara 160B menyatakan seperti berikut:- Teks sahih, 160B, Jika Perlembagaan ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Kebangsaan, Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks Bahasa Kebangsaan itu sebagai teks sahih, dan selepas itu, jika ada percanggahan atau perselisihan antara teks Bahasa Kebangsaan itu dengan teks Bahasa Inggeris, teks Bahasa Kebangsaan itu hendaklah mengatasi teks Bahasa Inggeris itu,” ujar beliau.

Maka, jelas bahawa teks Bahasa Kebangsaan Perlembagaan Persekutuan sudah disempurnakan menjadi teks yang sahih menggantikan teks Bahasa Inggeris sejak dari tarikh pelancarannya pada 29 September 2003 lagi.

“Buktinya, seperti yang telah dilaporkan pada 29 September 2003, KDYMM Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah melancarkan Teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Kebangsaan.”

“Upacara pelancaran Teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Kebangsaan tersebut telah dilaksanakan sendiri oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong dan ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Perkara 160B yang menyatakan “Yang di-Pertuan Agong boleh menetapkan teks Bahasa Kebangsaan itu sebagai teks sahih”.”

“Dari itu, saya berpandangan bahawa KDYMM YDPA sudah pun melaksanakan tugas Baginda berkenaan perihal Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan,” kata Puan Azlinda lagi.

Tambahnya, perlu diingat bahawa urusan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengisytiharkan teks Perlembagaan Persekutuan Bahasa Kebangsaan sebagai teks sahih juga sudah disempurnakan prosesnya pada tahun 2001 di Parlimen Malaysia.

Jelas beliau lagi, perkara ini berlaku setelah Pejabat Peguam Negara selesai melaksanakan segala hal berkenaan proses menterjemahkan Teks Perlembagaan Persekutuan ke dalam Bahasa Kebangsaan pada tahun 2001 yang bukan sahaja melibatkan pejabat Peguam Negara, malah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan lain-lain pakar ketika itu.

Maka, persoalan dan isunya sekarang apa yang perlu dilakukan dan siapa yang perlu melakukan untuk mengangkat semula teks sahih Perlembagaan dalam Bahasa Melayu yang kurang digunakan dalam mahkamah itu walaupun jelas sudah disahihkan lama dahulu?

“Itu yang saya tak berapa pasti, kenapa tidak ada yang komen tentang pelancaran Teks Sahih Bahasa Kebangsaan Perlembagaan terutamanya dari para pegawai di Attorney General`s Chambers (AGC) atau Jabatan Peguam Negara,” ujar beliau lagi.

Jelas Puan Azlinda, kurangnya penggunaan Bahasa Melayu merupakan antara masalah pentadbiran dalaman kehakiman dan pihak kementerian sendiri, maka hal ini perlu dijawab sendiri oleh Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau mungkin pentafsiran dan pemahaman kepada Perkara 160B itu yang menjadi puncanya.

“Sekitar tahun-tahun era 90an dan awal tahun 2000, Bahasa Melayu memang dipakai semasa perbicaraan di mahkamah bukan sahaja dalam dokumen yang difailkan, berbanding sekarang mereka lebih selesa dan banyak menggunakan Bahasa Inggeris ketika perbicaraan berlangsung.”

“Orang yang paling layak menjawab persoalan isu ini ialah Attorney General (AG) yang ada sekarang sebab semua fail dan rekod sudah ada di tangan beliau,” kata ahli NGO itu mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: