Teknologi Malaysia Lapuk Untuk Halang Jenayah Siber
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 27 Ogos 2022 – Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), SAC (B) Datuk Ahmad Noordin Ismail menyuarakan kekecewaannya dengan teknologi lapuk termasuk perkakasan pihak penguatkuasaan Malaysia yang masih berada di takuk lama dalam mendepani jenayah siber.
Kerenah birokrasi dalam banyak perkara terutama melibatkan perolehan perkakasan keselamatan siber juga menyebabkan teknologi diguna pakai di sektor penguatkuasaan tidak berubah.
“Dalam situasi ini, hampir mustahil untuk agensi penguat kuasa Kerajaan seperti polis bersaing dengan scammer yang bukan sahaja ramai malah memiliki teknologi lebih canggih,” kata Datuk Ahmad Noordin.
Menceritakan pengalaman sendiri, beliau yang juga bekas Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terpaksa menunggu sekurang-kurangnya dua tahun sebelum satu-satu perolehan perkakasan dan sistem yang mengawal keselamatan siber diluluskan oleh kementerian dan seterusnya diterima.
“Kita terlampau banyak red tape bila mahu melaksanakan satu-satu perolehan membabitkan sistem atau perkakasan untuk mengawal ekosistem keselamatan siber.”
“Contoh, katakanlah hari ini, ada satu agensi memerlukan satu sistem atau perkakasan berkaitan keselamatan siber RM5 juta. Untuk mendapatkan barangan itu, terpaksa tunggu satu, dua tahun. Itu maksudkan sebagai red tape.”
Bukan sahaja perlu berdepan dengan bermacam-macam tapisan di pelbagai peringkat agensi dan kementerian, sebelum satu-satu sistem itu diterima, malah, PDRM berdepan cabaran kekurangan tenaga pakar bidang keselamatan siber.
“Dalam jabatan saya dulu, iaitu Jenayah Siber dan Multimedia, di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, yang ada kepakaran mengenai teknikal hanya 75 orang.”
Sekarang saya tak tahu jumlah pakar IT, tapi zaman saya dulu hanya ada 75 pegawai dan anggota jenayah siber,”
Terdahulu, sekumpulan penggodam menggelarkan diri mereka sebagai ‘Anonymous Malaysia’ memberi amaran kedua akan melancarkan serangan siber ke atas laman web kerajaan dan aset dalam talian menerusi #OpsWakeUp21.
Dalam video berdurasi 3 minit 17 saat, mereka memberi amaran sejak 2015, penipu terus menipu rakyat melalui e-mel, panggilan telefon, media sosial dan WhatsApp, dengan menawarkan wang kepada rakyat serta mengugut mereka seakan-akan mereka melakukan jenayah.
Katanya, puncanya disebabkan penyedia perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang mengandungi data peribadi rakyat digodam serta dibocorkan sebelum data itu kemudiannya dijual kepada pihak ketiga.