Tempatan

Tekankan Manhaj Rabbani Dalam Kehidupan, Hasilkan Nilai Kerja Berkualiti – Tengku Hassanal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 19 Oktober 2021 – “Setiap kita perlu menerapkan Manhaj Rabbani dalam segala urusan kehidupan. Dalam erti kata yang lain, dalam segala amalan, perbuatan, dan matlamat hidup, kita mestilah meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dan panduan,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah hari ini.

Tambah baginda, setiap rakyat perlu menerapkan konsep yang menjadi tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini kerana, “Apabila Manhaj Rabbani sebati dalam diri kita, InsyaAllah kita akan dijauhi daripada isu-isu seperti bekerja sambil lewa, malas, rasuah, tidak berintegriti, pecah amanah, dan sebagainya”.

Berikutan itu, “Semua kerja yang kita lakukan, InsyaAllah akan membuahkan hasil kerja yang bermutu dan berkualiti tinggi kerana kita telah niatkan kerja kita, hanya kepada Allah SWT sahaja.”

Titah ini disampaikan sewaktu baginda bercemar duli merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah menurut laporan Pahang Media.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhammad, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini adalah “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Tema ini membawa masyarakat kepada norma hidup yang menekankan prinsip dasar Manhaj Rabbani iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, dan insani.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button