Teh Tarik Dan Inflasi: Kenapa Harga Barang Naik? – Dato’ Abdul Manap Abd Wahab
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 02 Jun 2022 – “Persoalannya sekarang adalah “Kenapa harga barang naik”? Soalan ini sebenarnya sangat terkait dengan matawang yang kita guna hari ini,” ujar Dato’ Abdul Manap Abd Wahab.
Beliau berkata, sebelum menjawab soalan di atas, marilah kita balik ke suatu keadaan di mana wang yang kita guna hari ini tidak ada dan dalam keadaan ini kita akan bertukar barang dengan barang atau barang dengan khidmat.
Contohnya, kita ada memelihara ayam dan kita perlukan beras, maka kita akan cari petani yang memerlukan ayam dan tukar dengan beras.
“Berapa banyak beras yang akan ditukarkan dengan ayam seekor akan bergantung kepada keinginan atau need of kedua-kedua pihak (willing buyer and willing seller).”
Jelasnya, sekiranya petani tadi sudah ada ayam, kemungkinan besar dia tidak akan mahu buat pertukaran atau exchange ini. Kalau dia nak buat pun mungkin berasnya sedikit.
Beliau yang merupakan mantan CEO sebuah bank konvensional dan Islamik yang berpengalaman lebih 25 tahun itu berkata, sistem barter trading atau barang dengan barang sudah pasti tidak efisien dan ekonomi tidak akan berkembang.
Jelas beliau, apa yang kita dapat pelajari dari sistem barter adalah pertukaran tersebut adalah pertukaran nilai dengan nilai.
Jadi, untuk menjana ekonomi kita memerlukan sesuatu perantara (means of exchange) yang efisien, mudah dan diterima oleh seluruh masyarakat.
Maka, masyarakat dahulu menggunakan emas, perak atau tembaga yang mempunyai nilai tersendiri dan diterima oleh mana-mana individu atau masyarakat.
Menurut Dato’ Abdul Manap, sistem ini digunakan di seluruh dunia dan ianya sangat stabil sebab ianya susah didapati.
“Untuk memudahkan penggunaan emas dalam mana-mana transaksi, pada tahun 1944 selepas perang dunia kedua, semua negara, telah bersetuju untuk menyandarkan wang Amerika dengan kadar US 35 pada 1oz emas dan semua matawang negara-negara lain akan disandarkan ke US dolar.”
Ujarnya, sistem ini menghalang US mencetak sesuka hati sebab mereka mesti menambah emas sebelum mereka boleh mencetak wang. Disebabkan Amerika has an expansionist policy ketika itu mereka teruskan dengan pencetakan wang dan apabila negara-negara Eropah menyedari hal ini wang US dolar tidak diterima pada awal tahun 1971.
Maka, pada 15 Ogos 1971 US mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan matawang mereka dengan emas. Ketika itu bermulalah era baru Fiat Money, di mana kertas (dengan kos cetak beberapa sen diberi nilai puluh dan ratus) diguna pakai sebagai wang atas arahan atau perintah of the government. Di Malaysia kertas ini dinamakan Ringgit.
Ciptaan Wang Oleh Bank
Dato’ Abdul Manap menerangkan, hal ini lebih rumit difahami sebab masyarakat umum dan juga yang bekerja di bank percaya bahawa bank memberi pinjaman mengguna wang yang disimpan di bank-bank tersebut.
“Sebenarnya tidak, semua bank-bank komersial dianugerahkan satu kuasa yang dinamakan fractional reserve system.”
“Dengan kuasa ini hanya dengan lafaz “kun fayakun” untuk mencipta wang dari tiada menjadi ada melalui proses “pinjaman yang mereka berikan.”
Menurut beliau lagi, setiap kali bank konvensional (mahu pun bank Islamik) ataupun pemerintah mencipta atau mencetak lebih banyak “wang” maka nilai matawang yang sedia ada di tangan masyarakat akan jatuh nilainya.
“Itulah yang dikatakan inflasi, susutan nilai (pembelian) wang yang sedia ada dan disebabkan kesusutan nilai itu maka naiklah harga barang termasuk teh tarik,” jelasnya.
Tambah beliau, wang tidak boleh susut nilai sebab ia menggantikan tenaga kerja (upah) yang kita terima membuat sesuatu kerja.
Maka, inflasi adalah sesuatu yang tidak adil sebab ia mencuri nilai aset yang kita ada tanpa kita sedari dan bagi saya dan beberapa rakan, inilah riba yang diharamkan,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.