Tawaran Kerja ‘Too Good To Be True’, Orang Ramai Digesa Waspada
KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2024 – “Orang ramai diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran pekerjaan sambilan yang kelihatan ‘too good to be true’. Mustahil terdapat pekerjaan yang menawarkan pulangan lumayan hanya dengan melakukan kerja-kerja mudah pada era ketidakstabilan ini,” tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Beliau mengingatkan demikian selepas mengesan satu sebaran mesej tawaran pekerjaan sambilan dengan memberi ulasan kepada laman sesawang, produk dan sebagainya, dipercayai didalangi oleh sindiket Job Scam.
Dedah Ramli, ulasan tersebut didakwa akan meningkatkan trafik di laman sesawang sekali gus memberi keuntungan kepada peniaga yang mengiklankan barangan atau perkhidmatan mereka di platform tersebut.
“Sebagai balasan, individu yang memberi ulasan akan memperoleh bayaran serendah RM1,590 sehari sehingga RM6,188 sebulan bergantung kepada tugasan yang disiapkan.”
“Berpandukan bentuk pekerjaan serta komisen yang ditawarkan, pihak JSJK percaya ia adalah satu cubaan penipuan,” ujarnya dalam sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) di Menara KPJ baru-baru ini.
Tambahnya, semakan sedang dilakukan bagi mengenalpasti sama ada terdapat mangsa kepada sindiket penipuan ini.
“Mana-mana individu yang mungkin telah ditipu oleh sindiket tersebut segera tampil membuat laporan polis di mana-mana balai berhampiran.”