Tauliah Perlis: Pihak Berkenaan Perlu Profesional & Tidak Bermain Persepsi Media – Ust Wadi Annuar
SUNGAI PETANI, 20 April 2023 – “Yang lebih pelik adalah JAIPs tahu bahawa Ustaz Wadi diwakili oleh Peguam seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan tetapi memilih untuk mengeluarkan kenyataan sensasi termasuk ayat waran tangkap dan sebagainya. Ia lebih kepada serangan peribadi ke atas Ustaz Wadi dan tidak nampak seperti siasatan bakal dijalankan. Ia nampak walau siasatan belum dibuat tetapi sudah ada keputusan bahawa Ustaz Wadi akan didakwa di Mahkamah berkenaan.”
“Perkara ini menunjukkan pihak-pihak yang terlibat bersikap tidak profesional, tidak tahu menghormati proses-proses yang dibenarkan oleh prosedur undang-undang serta tidak menghormati persetujuan rasmi yang telah dicapai oleh kedua-dua pihak.”
BACA JUGA: Mantan Menteri Kesihatan Cadang Malaysia Eksport Ketum
BACA JUGA: Kemarau Sukarkan Pembekalan Air Bersih Di Kelantan Menjelang Raya
BACA JUGA: 3 Juta Kenderaan Dijangka Banjiri Pulau Pinang Raya Ini
Demikian kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ustaz Wadi Annuar susulan berita yang melaporkan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) akan mengambil tindakan undang-undang termasuk pelaksanaan waran tangkap sekiranya beliau tidak hadir untuk siasatan berkaitan tauliah ceramah mengikut tarikh yang ditetapkan.
Ujarnya, kenyataan yang dibuat seperti menggambarkan pihaknya cuba mengelak dari hadir proses siasatan.
“Sedangkan kedua-dua pihak sudah sedia maklum bahawa persetujuan perubahan tarikh telah dicapai dan dipersetujui atas alasan-alasan yang dikemukakan. Tidak timbul isu pihak kami mengelak dari hadir proses siasatan.”
Tambah Ustaz Wadi Annuar, pemberitaan dan penulisan yang ada seperti diperoleh secara tergesa-gesa tanpa merujuk kepada pihak terlibat dan ini adalah satu perkara yang amat dikesalkan oleh kerana jabatan agama sebuah agensi Kerajaan Negeri yang sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan apa-apa kenyataan.
Justeru, beliau menuntut agar perbicaraan melalui media melalui permainan persepsi segera dihentikan.
“Pihak kami amat kesal dengan tindakan-tindakan tidak profesional seperti ini. Perbicaraan melalui media melalui permainan persepsi seperti ini perlu segera dihentikan. Pihak kami sedang meneliti perkembangan dan tindakan tindakan-tindakan seumpama ini bagi tujuan tindakan-tindakan lanjut mengikut nasihat pihak peguam kami,” tegas beliau.