Tempatan

Tasik Chini Ada Peluang Kekalkan Status Tapak Rizab Biosfera

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 28 Julai 2022 – Tasik Chini masih berpeluang untuk mengekalkan statusnya sebagai tapak rizab biosfera, kata Pengerusi Persatuan Pencinta Alam (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar.

Lapor Astro Awani, Noor Jehan memaklumkan bahawa status Tasik Chini sebagai rizab biosfera Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) masih boleh dipertahankan sekiranya semua pemulihan dan penanaman semula berjalan seperti dirancang.

“Kalau semua pihak bersungguh-sungguh mahu mempertahankan status UNESCO ini dan jika wakil mereka boleh melakukan satu lagi penilaian dan laporan bagi tahun ini. Jika itu berlaku mungkin peluang masih ada untuk Tasik Chini mengekalkan status sebagai tapak rizab biosfera,” ujarnya.

Kawasan Tasik Chini yang berkeluasan 6,922.97 hektar itu merupakan tapak biosfera pertama di Malaysia yang diiktiraf UNESCO, diikuti Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada September tahun lalu.

Sebelum ini, menerusi tinjauan berkala pertama UNESCO mengenai tasik tersebut, ia didapati tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) pertubuhan itu.

Penemuan tersebut dibentangkan dalam Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO MAB pada September lalu, namun diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Walau bagaimanapun, jelas Noor Jehan, bagi memperbaiki kualiti kawasan itu, terdapat beberapa usaha penanaman semula yang telah dilakukan di bawah kendalian Jabatan Perhutanan Pahang.

Beliau turut meminta wakil UNESCO untuk membuat satu lagi penilaian dan laporan bagi tahun ini.

“Saya juga ada membaca laporan (UNESCO) itu, dan dia kata ‘pihak berkuasa Malaysia diminta menghantar pelan terperinci untuk rizab biosfera Tasik Chini sebelum 30 September tahun ini,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: