Tempatan

Tarif Elektrik Rakyat Kekal, Namun Subsidi Elektrik Syarikat Gergasi Disemak Semula

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 15 Disember 2022 – Kerajaan menjamin tidak akan menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Berdasarkan laporan NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) pada Selasa lalu, kita memutuskan supaya cadangan awal untuk naikkan tarif elektrik itu tidak diteruskan, kerana kita akui ia akan membebankan rakyat.”

“Walaupun kita akui jika tidak ada apa-apa dilakukan, ia akan memberi kesan kepada kewangan negara agak tinggi, iaitu RM30 bilion,” kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Bangunan Perdana Putra pada Rabu baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata subsidi elektrik yang dinikmati oleh syarikat gergasi seperti syarikat multinasional yang mengeksport produk ke luar negara akan disemak semula.

“Nik Nazmi Nik Ahmad, selaku Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan buat pengumuman dalam masa terdekat.”

“Jika dikenakan pun akan kepada syarikat multinasional yang eksport kerana tarif terlalu rendah buat mereka, dan subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi yang untungnya tinggi.”

Beliau menjelaskan, kenaikan tarif itu tidak akan memberi kesan kepada rakyat secara amnya, termasuk syarikat industri kecil sederhana, syarikat pertanian, dan pengeluar makanan.

Mengulas lanjut beliau berkata, keperluan untuk menaikkan tarif tersebut dibuat selepas mengambil kira beban kewangan Kerajaan yang kian meninggi.

“Tetapi keputusan jelas, kita tidak akan membebankan rakyat. Jadi, keputusan kita ialah tidak menaikkan tarif elektrik, kecuali untuk mereka yang benar-benar kaya.”

“Masalah dengan pemberian subsidi ini ialah ia dilihat tidak dilakukan dengan telus, sebaliknya dilihat hanya memberi keuntungan kepada golongan kaya. Maka saya berpandangan kita akan meningkatkan tarif secara berfasa untuk syarikat multinasional.”

Tambahnya, beberapa inisiatif tambahan kini sedang diperhalusi oleh kementerian dan agensi berkaitan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: