Tapak Nuklear UK ‘Bocor’, Berisiko
UNITED KINGDOM, 7 Disember 2023 – Sellafield, kawasan yang dianggap sebagai sebuah tapak nuklear yang paling merbahaya di Eropah telah dilaporkan mengalami kebocoran dalam bahan buangan radioaktif dengan skala yang besar.
Perkara tersebut telah menimbulkan kebimbangan tentang tahap keselamatan kemudahan tersebut beserta potensi bahaya yang akan menimpa orang awam dan juga alam sekitar.
Kawasan loji yang berkeluasan dua batu persegi itu yang terletak di Cumbria berperanan sebagai tempat penyimpanan serta pembuangan bahan buangan nuklear daripada program-program senjata nuklear serta penjana kuasa.
Sebelum ini, loji tersebut telah perfungsi untuk menjana kuasa nuklear, daripada tahun 1956 sehingga tahun 2003.
Namun, tapak buangan nuklear terbesar di Eropah itu telah dilaporkan mempunyai pelbagai isu berkaitan keselamatan sebagaimana yang telah dilaporkan oleh akhbar The Guardian.
Antara isu keselamatan yang ditimbulkan adalah berkaitan asbestos serta bahaya kebakaran. Lebih membimbangkan, terdapat rekahan-rekahan pada silo-silo penyimpanan yang telah mengundang pertikaian dengan negara-negara yang turut terkesan termasuk Amerika Syarikat (AS), Norway dan Ireland.
Menerusi laporan yang dikeluarkan pada Selasa lalu, The Guardian menyatakan bahawa kerosakan pada satu silo toksik sisa buangan radioaktif telah menyebabkan kebocoran yang “berkemungkinan membawa akibat yang berat”.
Kebocoran tersebut dikatakan akan berterusan sehingga tahun 2050 yang mana ianya akan menyebabkan air bawah tanah tercemar apabila keadaan menjadi lebih buruk.
Pelbagai masalah kesihatan yang boleh berlaku akibat radiasi nuklear dengan tahapan yang berbeza, daripada kelesuan serta muntah sehinggalah masalah kardiovaskular dan kanser.