NGO

Tapak Masjid Tukar Kuil, Aminuddin Tuntut Penjelasan JHEAINS

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Saya dimaklumkan bahawa umat Islam di sebuah daerah di Negeri Sembilan telah menyuarakan bantahan mereka terhadap cadangan pembinaan kuil di atas tapak pembinaan masjid yang dikatakan hak milik Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

Jawatankuasa Surau Taman Indah Baru berserta penduduk-penduduk Taman Indah Baru, Taman Clonee 2 dan Bandar Utama Tampin masing-masing tidak bersetuju dan memorandum telah dihantar kepada ADUN kawasan.

Jika benar dakwaan bahawa tanah itu milik Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, maka sesuatu yang tidak kena sekiranya kelulusan cadangan membina kuil itu berlaku. Harapnya tiadalah apa-apa tangan-tangan politik yang mengatur di belakang tabir kerana jika diikutkan, hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan perlu segera memberikan penjelasan tentang status pemilikan tanah yang sebenar. Apakah ianya benar adalah tanah rizab bagi masjid seperti yang didakwa penduduk sekitar? Jika ianya benar, maka apakah status tanah telah berubah dan bagaimana ianya boleh berubah?

Sekiranya terdapat sebarang kepincangan dalam isu ini, saya harap pihak berkuasa terutamanya SPRM dan PDRM dapat menyiasat dengan segera sebelum ada apa-apa yang tidak diingini berlaku. Jika ada orang politik yang terlibat, maka seretlah segera ke muka pengadilan. Kita mahu lihat siapakah yang sanggup mempertaruhkan agama dan keharmonian masyarakat demi habuan duniawi itu.

Saya berharap agar penduduk setempat juga dapat membuat laporan polis dan SPRM negeri supaya pihak berkuasa boleh mengambil tindakan lanjut. Kami akan cuba menghubungi wakil penduduk untuk menawarkan apa-apa yang boleh dibantu, jika perlu. Manakala, kami juga sedang cuba menghubungi Jabatan Agama Islam Negeri untuk penjelasan lanjut.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button