Tempatan

#TangkapAzamBaki: Polis Tutup Jalan, Peguam Muda Amanah Sediakan Khidmat Guaman

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 21 Januari 2022 – Polis Dang Wangi menyatakan enam jalan utama dan stesen terpilih merentasi semua landasan kereta api menghala ke pusat bandar akan ditutup sebagai sebahagian daripada langkah polis menghalang perhimpunan #TangkapAzamBaki yang akan berlangsung esok.

Semua trafik akan dilencongkan dari Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail mulai 7 pagi.

Polis juga mengarahkan semua pengendali rel menghentikan perkhidmatan di stesen terpilih di sepanjang laluan LRT Ampang-Sri Petaling, LRT Kelana Jaya, MRT Sungai Buloh, monorel dan KTM.

“Bagi memastikan keselamatan awam dan ketenteraman awam, termasuk daripada risiko dijangkiti Covid-19, polis akan melakukan beberapa tindakan penguatkuasaan termasuk lencongan jalan raya,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya.

Dalam laporan berlainan, Peguam Muda Amanah menyediakan khidmat guaman bagi memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang sepanjang berlangsungnya demonstrasi yang dijadualkan di Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman esok.

Ini termasuk menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada semua individu yang terlibat dalam perhimpunan tersebut serta individu yang menyebarkan poster #TangkapAzamBaki secara fizikal dan di media sosial, lapor portal Utusan.

Penganjur perhimpunan, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki akan tetap meneruskan himpunan itu walaupun polis memberi amaran ia melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kenyataan jawatankuasa itu disokong Angkatan Muda Keadilan (AMK), Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Turut menyokong, kumpulan masyarakat sivil seperti Sekretariat Solidariti Rakyat, Pemuda Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Selangor dan Kuala (KLSCAH) serta Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM).

Menurut jawatankuasa itu, demonstrasi di jalan raya pada 22 Januari itu adalah untuk menuntut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditangkap serta-merta.

Mereka turut menuntut supaya proses undang-undang ke atas Azam bermula segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: