Tempatan

Tanam Semula Rumput Laut, Elak Kepupusan Dugong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ISKANDAR PUTERI, 08 Jun 2024 – Jabatan Perikanan (DOF) mengambil inisiatif melaksanakan penanaman semula rumput laut di Pulau Tinggi dan Pulau Sibu, Mersing yang juga kawasan ragut dan habitat dugong bagi mengelak kepupusan spesies itu di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, usaha itu dilakukan supaya menarik lebih lagi kehadiran dugong di kedua-dua pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut itu.

Bagi merancakkan lagi usaha memulihara penanaman rumput laut, jabatan itu bekerjasama dengan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berkaitan, bagi menghidupkan semula santuari mamalia yang juga dikenali sebagai lembu laut di perairan Mersing.

“Seperti di Pulau Tinggi, kadang kala arus terlalu kuat dan akan menolak rumput laut yang tumbuh, oleh sebab itu, kita juga akan buat tukun untuk membangunkan karangan ‘coral‘ supaya rumput laut dapat berlindung daripada arus.”

“Selain itu, kita juga akan meletakkan kima (sejenis kerang laut) untuk membantu habitat dugong ini, kerana rumput laut juga akan hidup di kima dan seterusnya dimakan dugong,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Rasa-Rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor 2024 di Kompleks Jabatan Perikatan Negeri Johor, Gelang Patah, pada Khamis.

Jabatan itu sebelum ini dilaporkan berkata, Kepulauan Mersing adalah lokasi dugong kerap ditemui, namun disebabkan ancaman terhadap habitat dan ekosistem rumput laut, populasi mamalia itu semakin mengecil.

Kawasan padang rumput laut di Pulau Sibu dan Pulau Tinggi, Mersing adalah kawasan ragut yang penting bagi dugong seperti yang dilihat daripada kesan ragutan pada sepanjang tinjauan rumput laut dan kesan ragutan sejak 2014.

Terdapat sekurang-kurangnya 19 kematian dugong direkodkan antara 2015 dan 2022, dengan kebanyakannya adalah anak dugong.

Pada masa sama, Wan Muhammad Aznan berkata, pembangunan sumber dan habitat dugong yang diancam kepupusan itu mestilah seiring bagi menjamin kemandirian spesies satu-satunya mamalia marin herbivor.

“Kita dapat lihat di kawasan itu kini sudah ada komuniti baharu dugong, bukan itu sahaja malah ada ikan lumba-lumba dan kuda laut juga dikesan di pulau berkenaan.”

“Oleh itu, kita akan kerap membuat pemantauan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada nelayan memasuki kawasan santuari itu dan tidak membenarkan aktiviti perikanan,” jelasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: