Tempatan

Tanah Runtuh: Agong Titahkan Segera Lakukan Siasatan

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 24 Disember 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala dijalankan dengan kadar segera.

“Saya dapat penjelasan tadi dan saya harap segala siasatan dapat dilakukan secepat mungkin.”

“Dalam pada itu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah menyatakan untuk menempatkan sebahagian penduduk di sini ke satu tempat (iaitu) di Flat Taman Beringin,” titah Baginda selepas menyantuni semua mangsa tragedi tanah runtuh yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan semua pihak untuk berganding bahu dan tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam yang melibatkan 94 buah kediaman.

Selain bertanya khabar, Seri Paduka Baginda turut memberikan sumbangan wang tunai bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa.

Turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu, sekurang-kurangnya 284 mangsa terjejas akibat tanah runtuh.

Seramai 136 mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, sementara baki mangsa berada di luar PPS.

Kejadian tersebut membabitkan 94 buah rumah, yang mana daripada jumlah tersebut, 24 kediaman musnah, manakala 70 buah lagi dikategorikan sebagai berisiko.

Leave a Reply

Back to top button