Tempatan

Tanah Rizab Melayu: SPRM Buat Laporan Polis Terhadap Naib Presiden PUTRA

IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat laporan polis terhadap Datuk Hamidah Osman susulan kenyataannya bahawa isu rizab tanah Melayu yang didedahkannya dilayan seperti bola.

“Tohmahan beliau terhadap SPRM dan polis adalah serius dan kami akan membuat laporan polis atas perkara tersebut,” dakwa Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad.

Tambahnya, kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berniat jahat, berunsur fitnah dan satu cubaan untuk melaga-lagakan SPRM dengan pihak polis.

“SPRM tidak berpuas hati dengan cara Hamidah yang melaga-lagakan agensi kerajaan dengan mengeluarkan kenyataan yang karut kononnya pihak SPRM dan polis saling menuding jari.”

Datuk Hamidah Osman mengibaratkan pendedahan isu tanah rizab Melayu yang dipindah milik kepada bukan Melayu di Perak `dilayan’ seperti bola apabila ditendang ke sana sini oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak saya diberitahu siasatan kes itu telah dipanjangkan oleh polis kepada SPRM namun agensi penguat kuasa itu (SPRM) pula memaklumkan tidak menerima sebarang laporan,” kata Hamidah.

Namun, Mohd. Fauzi menafikannya dan mendakwa bahawa SPRM sudahpun membuka kertas siasatan kes berkenaan.

“SPRM juga telah merakam percakapan saksi,” ujarnya seperti yang dilaporkan.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button