Tempatan

Tanah Rizab Melayu Kian Membimbangkan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2021 – Menurut kajian pakar sejarah, Paul Kratoska, polisi Tanah Rizab Melayu telah diperkenalkan di Tanah Melayu semenjak tahun 1913 oleh Sir E. L. Brockman. Dasar tersebut dimaterialisasikan dengan Enakmen Rizab Melayu 1913 pada tahun 1914 di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan) bagi memelihara pemilikan tanah oleh kaum Melayu ketika itu.

Enakmen tersebut telah melalui pelbagai proses semakan, pengubahsuaian dan penambahan sehinggalah Enakmen Rizab Melayu diperkenalkan pada tahun 1933. Negeri-negeri lain turut serta dalam usaha tersebut dengan pewartaan Enakmen Rizab Melayu mengikut negeri masing-masing.

Namun begitu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Fatin Afiqah Binti Md Azmi, dalam sebuah artikel Berita Harian bertarikh 22 Oktober 2021 menyuarakan kebimbangan beliau bahawa dasar yang digunapakai adalah tidak efisien. Beliau memetik statistik dari portal berita yang sama bertarikh 7 September 2018 di mana Tanah Rizab Melayu yang dipegang oleh orang Melayu hanyalah 12 peratus berbanding 50 peratus sepertimana yang dituntut oleh Wasiat Raja-Raja Melayu.

Antara punca utama penyusutan pemilikan tanah ini, menurut beliau, adalah status ekonomi masyarakat Melayu yang mundur, sekaligus tidak mampu memiliki tanah yang cukup luas untuk menuai hasil pulangan ekonomi yang memadai untuk ‘terus hidup’. Hal ini menyebabkan ramai yang menjual tanah rizab, termasuk secara tidak patuh undang-undang kepada bukan Melayu.

Beliau turut menyentuh permasalahan-permasalahan pengurusan yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi penyimpanan dan pengemaskinian rekod, pewartaan yang lambat dan pengesahan geran. Beliau mengemukakan cadangan penambahbaikan seperti:

• Perketatkan syarat jual beli dan pemajuan tanah rizab;
• Pembentukan badan/institusi khusus untuk menguruskan tanah rizab;
• Mewujudkan database khas bagi rekod dan data tanah rizab Melayu;
• Meningkatkan kesedaran umum kepada kepentingan memelihara tanah rizab Melayu; dan
• Menggunakan Wakaf sebagai langkah pembangunan tanah rizab Melayu

Kesimpulannya, pelbagai usaha harus diperkukuhkan bagi melindungi dan mengekalkan tanah rizab Melayu supaya legasi dalam Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 masih dapat dinikmati generasi berikutnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: