Tempatan

Tanah Rizab Melayu: Hamidah Pertikai Tuduhan Lagakan SPRM dan Polis Perak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH: Datuk Hamidah Osman, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menafikan tuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bahawa beliau melaga-lagakan SPRM dengan pihak polis Perak dalam isu laporan tanah rizab Melayu yang dipindah milik di Perak.

Bagi Hamidah, tuduhan bahawa beliau melaga-lagakan SPRM dan polis merupakan tuduhan berat dan tidak berasas.

“Saya ada bukti, tiada niat memfitnah atau mahu melaga-lagakan polis dan SPRM.”

Ujarnya seperti dilaporkan dalam Utusan, beliau hanya menyuarakan rasa kecewa apabila SPRM Perak memaklumkan mereka tidak menerima laporan polis yang telah dibuatnya mengenai tanah rizab Melayu yang dipindah milik.

“Apabila polis maklumkan mereka sudah hantar surat bertarikh 30 September kepada SPRM, maka anggapan munasabah kita adalah SPRM kini ambil alih siasatan.”

“Tetapi SPRM menafikan terima surat tersebut. Saya hanya tertanya-tanya siapa yang siasat kes tanah rizab Melayu ini sebenarnya?”

“Polis kata SPRM, SPRM kata belum terima apa-apa laporan daripada polis.”

Baru-baru ini Pengarah SPRM Negeri Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad mendakwa akan membuat laporan polis terhadap Datuk Hamidah Osman susulan kenyataannya bahawa isu rizab tanah Melayu yang didedahkannya dilayan seperti bola.

“SPRM tidak berpuas hati dengan cara Hamidah yang melaga-lagakan agensi kerajaan dengan mengeluarkan kenyataan yang karut kononnya pihak SPRM dan polis saling menuding jari,” kata Mohd. Fauzi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: