Tempatan

Tanah Kubur Islam Mendap, Waris Kesal Tiada Tindakan Lanjut

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SENAWANG, 08 Ogos 2022 – Susulan pemendapan tanah yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang sejak lima tahun lalu, waris dan ahli keluarga mereka yang dikebumikan meluahkan rasa kesal dan kecewa apabila tiada sebarang tindakan diambil daripada pihak berkaitan terhadap perkara tersebut.

Fatin Anasuha Haim, 29, memaklumkan, arwah bapanya telah disemadikan di tanah perkuburan tersebut pada tahun 2011 namun, sejak 2016 keadaan tanah mendap serta berlumpur itu kini menjadi semakin teruk.

“Selepas 2016 tanah di perkuburan menjadi lembik dan tidak berjaga langsung, ada selut tidak tahu nak buat macam mana. Kalau nak berjalan perlu berhati-hati risau terjatuh.”

“Banyak kubur di bahagian bawah (tanah perkuburan) ditenggelami air. Sebelum ini saya telah memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan kubur tetapi tiada tindakan sebelum diadukan pula kepada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tiga bulan lalu,” jelas beliau yang buntu apabila Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tidak memberi maklum balas dan membiarkannya berlarutan.

Selepas Fatin memuat naik sebuah video berkenaan perkara ini, ramai warganet meninggalkan komen dan berkongsi pengalaman mereka yang turut mengalami hal sama.

“Apabila video ini viral (tular) di TikTok rupanya ramai waris turut menyuarakan perkara sama kerana tidak dapat menziarah kubur keluarga mereka.”

“Saya hanya dapat melihat dari jauh di kawasan jalan tar kerana bahaya untuk masuk ke tanah kubur itu kerana selut berlumpur dan boleh terjatuh,” luah beliau.

Dalam pada itu, Fatin turut memberitahu bahawa kawasan tanah perkuburan itu pernah tular September tahun lalu selepas didakwa dipenuhi cecair berwarna merah seperti darah mengalir di celah-celah kubur.

“Kawasan ini memang ada punca mata air yang mungkin menyebabkan ia lembap berlumpur. Sebelum ini, ada waris yang cuba tambak sendiri dengan batu, namun keadaan masih tidak berubah,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button