Tambang E-Hailing Melonjak Disebabkan Dua Faktor Utama – Wee Ka Siong

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 26 May 2022 – Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong memaklumkan, terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing.

Pertama, penawaran dan permintaan yang tidak seimbang, kedua, kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama.

“Gabungan kedua-dua faktor ini telah menjejaskan kualiti perkhidmatan e-hailing,” ujar beliau dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Selain itu, antara faktor lain yang turut menyebabkan tambang e-hailing meningkat adalah kerana kekurangan pemandu.

“Beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30% berbanding sebelum COVID-19 melanda Malaysia.”

“Kekurangan pemandu e-hailing ini secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan,” kata Wee Ka Siong.

Tambahnya, di samping itu, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.

Mengulas mengenai tambang e-hailing, Wee Ka Siong berkata, Kerajaan tidak mengawalnya.

Pengendali e-hailing (EHO) dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka.

“Mengikut dasar ditetapkan sebelum ini, pengendali e-hailing diberi kelonggaran mengenakan surcaj maksimum sehingga 200 peratus daripada tambang asas.”

Namun, beliau memberi jaminan akan terus memantau industri e-hailing untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai kekecewaan pengguna e-hailing terhadap perkhidmatan tersebut yang dilihat menawarkan harga perkhidmatan agak tinggi berbanding sebelum ini.

Kadar tambang Grab dilaporkan meningkat sehingga 400% pada waktu puncak mencetuskan rasa tidak puas hati pengguna kerana disifatkan tidak masuk akal sekali gus menggesa campur tangan Kerajaan.

Exit mobile version