Tempatan

Tambang Bas Sekolah Dijangka Naik Lagi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 15 Januari 2024 – Tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka meningkat antara RM10 hingga RM20 berikutan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar khususnya Lembah Klang.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat.

“Memang kemungkinan ada peningkatan harga untuk penggal baharu tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana ia berbeza mengikut operator itu sendiri dengan mereka perlu mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa,” katanya.

Jelasnya, antara faktor tambang terpaksa dinaikkan adalah kerana alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar.

“Kalau dulu harga alat ganti RM100 tetapi sekarang dah naik RM120 hingga RM150, dan kos juga berdasarkan penyelenggaraan bulanan.”

“Kami juga perlu menukar minyak hitam dan perlu juga melihat berapa jauh perjalanan bas itu setiap bulan sebab itu saya kata operasi setiap operator tidak sama, malah ada juga operator perlu membayar parkir kalau tidak akan disaman.”

Menurutnya, pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada operator dalam penetapan harga tambang bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, selain kata sepakat pihak berkenaan bersama ibu bapa.

Dalam pada itu, Amali mencadangkan supaya sistem bas sekolah percuma diperkenalkan oleh kerajaan seperti yang dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Australia dan Britain dalam membantu meringankan beban ibu bapa.

“Satu sahaja cara untuk mengurangkan beban ibu bapa akibat daripada kenaikan ini ialah kerajaan perlu menanggung kos tambang sekolah seperti yang dibuat di Kuala Lumpur melibatkan kawasan Projek Perumahan Awam (PPA) dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR).”

“Mereka yang tinggal dan memiliki rumah di PPA dan PPR, anak-anak mereka yang bersekolah kerajaan automatik akan berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) layak mendapat perkhidmatan bas sekolah percuma untuk perjalanan pergi dan pulang setiap hari,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: