Tempatan

Tambang Bas Sekolah Bergantung Kepada Harga Diesel

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 02 Jun 2024 – Harga tambang bas sekolah kekal jika tiada perubahan pada kadar subsidi diesel yang dikenakan kepada pengusaha pengangkutan itu pada harga RM1.88 seliter.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, kalau ada perubahan misalnya harga diesel subsidi naik kepada RM2.50 seliter mungkin akan ada kenaikan tambang kerana peningkatan kos.

“Jadi diharapkan kerajaan kekalkan harga diesel kepada kita pada harga RM1.88 seliter. Setakat ini kerajaan memaklumkan pemberian subsidi kepada pengusaha bas dikekalkan tetapi belum diketahui dari segi harganya,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan terus menyediakan subsidi kepada 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) termasuk bas sekolah.

Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) pula untuk pemilik kenderaan diesel persendirian dan pertanian di Semenanjung Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 yang layak bagi menerima RM200 sebulan sebagai subsidi diesel bersasar.

Berikutan itu, Amali Munif berkata, pihaknya mencadangkan penyaluran subsidi diesel kepada semua pengusaha sektor pengangkutan kategori SKDS dilakukan menerusi bayaran tunai seperti Budi Madani.

Menurutnya, ia kerana terdapat beberapa kelemahan seandainya pemberian subsidi itu dilaksanakan menerusi kaedah sedia ada iaitu menggunakan kad fleet.

“Antara kelemahan itu adalah tak banyak stesen minyak yang terima kad fleet ini.”

“Kalau di kawasan Lembah Klang, saya dimaklumkan tak sampai 10 stesen minyak pun yang terima penggunaan kad subsidi ini,” ujarnya.

Selain itu, Amali Munif berkata, kuota jumlah minyak subsidi yang layak diterima pengusaha juga boleh dibatalkan pada bulan seterusnya jika cukai jalan bas tamat tempoh dan tidak diperbaharui lebih awal.

“Jadi mekanisme pelaksanaan kad fleet ini secara keseluruhannya perlu juga mendapatkan maklum balas daripada operator,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: