Tempatan

Tambah Birokrasi: Seolah-Olah Ada Pihak Mahu Sekolah Islam Ditutup – Dr Nik Azlida Datuk Husain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 19 Jun 2023 – Pengerusi (Gabungan Sekolah Islam Selangor GASIS) Dr Nik Noor Azlida Datuk Husain menjelaskan kerumitan isu pendaftaran Sekolah Islam Persendirian ini bermula selepas pandemik COVID-19 yang lalu.

Menurutnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meminta pihak sekolah mengemukakan lukisan arkitek dan perlu melalui konsultan yang diiktiraf dan dilantik oleh pihak PBT sendiri.

“Bagaimanapun, caj yang dikenakan amat tinggi sehingga ada yang mencecah RM70,000,” ujarnya.

Jelas beliau, setiap tahun ada sekolah yang akan tamat Sijil Pendaftaran Sekolah masing-masing. Bila mereka ingin memperbaharui Sijil Pendaftaran Sekolah di sinilah mereka menghadapi kesulitan dengan pelbagai kerenah birokrasi yang telah diubah-ubah.

Tambahnya, majoriti Sekolah Islam akan tamat Sijil Pendaftaran kekal 5 tahun pada 31 Disember 2023 ini. Semua mereka mula gusar dengan kerenah birokrasi yang perlu dihadapi.

Sebelum Ini Semua Prosedur Pendaftaran Sangat Mudah

“Contoh Sekolah Saya sendiri, sebelum ini, semasa kami ingin memohon Sijil Pendaftaran kekal pada tahun 2018, prosedurnya sangat mudah.”

“Kami perlu dapatkan sokongan 3 agensi misalnya jika dari pihak PBT hanya mensyaratkan perlu ada Geran, Pelan, Certificate of Fitness (CF) Bangunan, Tenancy Agreement, SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) / ROB (Registration of Business), Carta Organisasi Syarikat, Minit Mesyuarat dan lain-lain yang berkaitan sahaja,” katanya.

Manakala, syarat dari Jabatan Bomba pula, perlu menyediakan Fire Extinguisher, Sijil Fire Extinguisher, Lampu Kecemasan, Exit Light, Pelan Laluan Kecemasan, Tanda Arah dan Tangga Kecemasan.

Kemudian, dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula pengusaha perlu memastikan dapur dan peralatan bersih, menyediakan tong sampah yang sesuai dan bertutup, pekerja ada mengambil suntikan yang dikhaskan KKM, ada penapis minyak dan lain-lain hal berkaitan seperti prosedur kebiasaannya.

“Alhamdullillah, semua prosedur yang dikenakan sebelum ini senang diikuti dan kami dapat kelulusan dalam masa yang cepat tanpa sebarang masalah,” ujarnya.

Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, pihak PBT telah menetapkan pula syarat sehingga perlu ada konsultan yang cajnya belasan ribu hingga puluhan ribu termasuk pelan arkitek dan lain-lain permintaan yang tak mampu untuk disediakan oleh pengusaha sekolah-sekolah yang kecil-kecil.

Bukan itu sahaja, pihak Jabatan Bomba juga kini memastikan sebahagian sekolah perlu adakan hose reel yang harganya mencecah RM 20,000 dan lain-lain prosedur yang sukar.

“Cumanya dari pihak Kesihatan sahaja tiada masalah ketara setakat ini,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, jika mereka tidak layak memohon bantuan jadi bagaimana mereka hendak menyediakan keperluan yang diminta kerana apa sahaja prosedur itu memerlukan kewangan tambahan. Kewangan sekolah hanya mencukupi untuk membayar gaji guru-guru dan kakitangan, sewa bangunan dan bayaran fasiliti sahaja.

Seolah-olah Ada Pihak Mahu Melihat Sekolah Islam Dihalang Beroperasi Dan Ditutup Sepenuhnya

Di sini, kita melihat bila sekolah-sekolah ini disekat dari mendapat bantuan kewangan dan fasiliti seolah-olah ada pihak tertentu yang ingin melihat agar sekolah-sekolah Islam ini ditutup atau dihalang dari beroperasi.”

Menurut Dr Nik Azlida Datuk Husain lagi, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyuarakan bahawa pihak sekolah kena hantar permohonan mulai Jun tetapi yang terbaru arahan keluar untuk dapat Surat Sokongan JAIS memerlukan 60 hari (2 bulan).

“Kemudian, bila sudah dapat Surat Sokongan JAIS baru boleh mohon Kebenaran Merancang (KM) dari pihak PBT. Maka timbul persoalan, kenapa kami perlu memohon KM ya? Adakah sebab sekolah beroperasi di rumah kedai yang dah siap bangunan dan ada CF. Ini yang menjadi tanda tanya kami pihak pengusaha. Sudahlah proses ini pula memakan masa 4 ke 6 bulan. Kemudian apabila sijil dah tamat, urusan tak selesai lagi. Maka anak-anak ataupun pelajar-pelajar yang jadi mangsa,” ujarnya.

“Jadi persoalannya, siapa sebenarnya yang menyulitkan semua ini?” soal beliau.

Jelasnya lagi, bukan itu sahaja malah ada dari kalangan pihak JAIS berkata kalau tak mampu membayar semua kos itu, tutup sahaja sekolah!

“Saya sendiri pernah persoalkan hal ini kepada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Islam (KPP BPI) JAIS, tidakkah pihak JAIS terfikir jika Sekolah-Sekolah Islam Persendirian (SIP) ini ditutup adakah sekolah-sekolah berdekatan mampu menyediakan fasiliti pendidikan?”

Sekolah Islam Ditutup Murid Terpaksa Ke Sekolah Cina

Jawapan yang mengejutkan saya apabila, KPP menyatakan sudah berlaku di Kuala Selangor di mana ada satu Sekolah Islam telah diarahkan ditutup. Murid-murid sekolah tersebut terpaksa bersekolah di Sekolah Cina kerana tiada tempat di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Rendah Agama (JAIS).

“Sudah lah sekarang ini dengan masalah sosial yang membimbangkan dan tak dapat dikawal. Adakah kita sanggup melihat anak-anak Islam ini terpesong akidah mereka dan siapa pula yang nak bertanggungjawab nanti?” soalnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: