Tamadun Sungai Batu Mempunyai Struktur Bangunan ‘Moden’
KUALA LUMPUR, 06 Februari 2023 – Monumen-monumen yang ditemui sewaktu aktiviti penggalian dilakukan di Sungai Batu menunjukkan tamadun Sungai Batu mempunyai struktur bangunan ‘moden’.
Menurut Datuk Dr Mokhtar Saidin, seorang arkeologis yang menjalankan penggalian dan kajian di sana, beliau menjumpai monumen bata, pelapik tiang dan atap genting, mendedah bukti monumen yang menyokong kewujudan industri dan perdagangan jongkong besi.
“Ini contoh monumen kita jumpa, lantai dari jeti, semua daripada bata, dan ini menggambarkan bahawa atasnya adalah kayu. Base lantai sahaja, base untuk mengikat kapal atau tiang. Kita jumpa di kedua-dua tebing Sungai Kuno sekarang. Sungai tu dah tak ada air. Menggambarkan pelabuhan.”
“Dan kita faham bahawa industri besi, satu industri yang berat memerlukan satu jeti yang kuat untuk dia boleh bawa eksport ke laut,” katanya dalam Forum Peradaban Alam Melayu yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) pada Sabtu lalu.
BACA JUGA: Lebur Besi Perlukan Teknologi Tinggi
BACA JUGA: Peradaban Dengan Orang Melayu Tidak Boleh Terpisah – Pengerusi PEMBELA
BACA JUGA: Norway Sekat Majlis Bakar Al-Quran Atas Sebab Keselamatan
Beliau seterusnya menunjukkan gambar pelapik tiang yang dijumpai, menunjukkan bahawa bangunan itu mesti ada bumbung.
“Kita jumpa atap genting. Kita bercakap 582. 582 Sebelum Masihi orang Kedah sudah menghasilkan atap genting yang kita kenal sekarang sebagai senggora. Sg Batu menghasilkan jauh lebih awal.”
“Daripada struktur atap genting ini, maka kita reconstruct bangunan berkenaan, akhirnya semua monument yang ada di Sg Batu.”
Katanya lagi, secara keseluruhan, setakat ini, data yang ada, peleburan besi, 788 Sebelum Masihi, bermulanya tamadun di Kedah Tua, kemudian struktur jeti, 582 Sebelum Masihi, Syahbandar,487 Sebelum Masihi dan tapak ritual, 110 Sebelum Masihi.
“Sekarang ini bila kita buat mapping yang terbaru, lebih 1,000 kilometer tamadun ini, sampai ke seberang Thailand dan main base dia adalah besi,” katanya lagi mengenai tamadun Sungai Batu.