Taliban Iktiraf Hak Wanita & Tidak Mahu Jadi Pariah Antarabangsa – Jeneral Nick Carter
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KABUL, 24 Ogos 2021 – “Saya tak rasa mereka mahu menjadi pariah antarabangsa sekali lagi. Mereka mahu lapangan terbang yang berfungsi, mereka mahu misi diplomatik dalam Kabul yang mereka sendiri boleh berbincang,” kata Jeneral Nick Carter dalam satu wawancara.
Kata Ketua Angkatan Tentera Britain itu, Taliban juga menyedari mereka memerlukan sokongan kemanusiaan.
“Jadi perkara penting buat masa sekarang adalah mengekalkan perhubungan dengan mereka dan memastikan kita tidak menutup apa-apa perhubungan.”
Mengulas lanjut, Jeneral Nick Carter juga menyatakan bahawa Taliban mengiktiraf hak-hak wanita seperti yang digariskan dalam undang-undang Syariah.
“Saya fikir mereka sudah berubah. Saya fikir mereka sedar Afghanistan sudah berevolusi. Mereka mengiktiraf peranan penting dimainkan kaum wanita dalam evolusi itu – dan ya, buat masa ini, mereka sudah semestinya akan menyatakan bahawa mereka mahu menghormati hak-hak wanita di bawah undang-undang Islam, iaitu undang-undang Syariah tetapi itu tidak semestinya bermaksud mereka akan menghalang kaum wanita untuk terlibat dalam pentadbiran, dalam pendidikan dan dalam perubatan serta dalam perkara yang perlu melibatkan kaum wanita.”
Oleh itu, semua perlu bersabar dan memberi ruang kepada Taliban menunjukkan siapa mereka kepada dunia.
“Jadi saya rasa kita perlu bersabar. Kita perlu memberi mereka ruang untuk menunjukkan bagaimana mereka mengambil alih pentadbiran dan sama ada kita boleh bekerjasama dengan mereka bergantung kepada bagaimana mereka melayan rakyat Afghanistan.”