Terkini

Taklimat Tamadun Melayu Sungai Batu Anjuran Jabatan Mufti Kedah

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Pagi 26 Julai 2023 telah berlangsung seminar anjuran Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman berjudul ‘Taklimat Sejarah Ketamadunan Melayu Ribuan Tahun Di Sungai Batu, Merbok, Kedah’.

Alhamdulillah Sahibul Samahah hadir sepanjang pembentangan kertas kerja dari pembentangan pertama oleh YBhg Profesor Dato’ Dr Mokhtar bin Saidin, Direktor Centre Global Archeologi Research (CGAR) dengan kertas bertajuk “Penemuan Sejarah Ketamadunan Melayu di Sungai Batu,” kemudian disusuli kertas kedua oleh YBhg. Profesor Dr Solehah binti Haji Yaacob, Pensyarah Jabatan Bahasa, Kesusasteraan dan Linguistik Arab dengan tajuk “Sejarah Penguasaan Bangsa Melayu dari Aspek Ekonomi dan Penguasaan Bahasa di Sektor Perdagangan Bijih Besi di Sungai Batu”.

Dan pembentangan terakhir oleh Tuan Haji Syahnis bin Salleh, Presiden Majlis Permuafakatan Waqaf Antarabangsa (iWAQAF) dengan kertas kerja bertajuk, “Kuasa Waqaf Dalam Membangunkan Kekuatan Ummah”. Dalam sesi soal jawab, hadirin hangat bertanyakan soalan-soalan kesahihan kajian yang rata-rata beranggapan penemuan tamadun di Sungai Batu sebagai tamadun Hindu.

Salah faham ini telah diperbetulkan oleh Profesor Dr Mokhtar dengan pencerahan memberi penjelasan sebenar tentang tamadun Sungai Batu, yang kaya dengan perindustrian kilang besi. Dengan segala kelengkapan dan kemudahan pelabuhan beserta dengan tersergamnya bandar yang sibuk dengan orang ramai dengan dikelolakan oleh seorang Shahbandar yang mentadbir pelabuhan tersebut dengan baik. Ini jelas apabila terdapat ruang pejabat pentadbiran dan juga jeti pelabuhan yang disediakan dengan teratur serta susunan bangunan di sekitar kawasan penempatan bukan hanya di Sungai Batu malahan dipercayai di seluruh kawasan Merbok itu sendiri.

Resolusi seminar dibaca oleh al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Zulkifli bin Suhaimi al-Syatirie yang antara lainnya setelah pencerahan mengenai Kompleks Arkeologi Sungai Batu membetulkan data sejarah yang tidak tepat bahawa ia bukan berasas kepada Candi Hindu-Buddha dan pelabuhan entreport semata-mata tetapi merupakan sebuah pelabuhan pembekal besi dunia. Justeru, maklumat ini mesti disebarluaskan menerusi pelbagai kaedah untuk mengubah landskap sejarah kepada kebenaran yang akan dapat mengangkat kembali martabat Melayu dan Islam di persada dunia.

Dan mesti diguna dan dijadikan sebagai asas untuk mengembalikan jati diri anak-anak muda Melayu dan membangunkan rasa sayang dan bangga negara kerana telah memiliki sejarah leluhur yang hebat. Oleh kerana itu tapak ini mestilah dipulihara, dipelihara dan dibangunkan dengan pendekatan Islamik sebagai satu produk Warisan Melayu Islam.

Di akhir program, sebagai penutup majlis, Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman menyampaikan hasrat beliau agar akan ada tindakan susulan daripada seminar ini bagi mengembalikan jati diri orang Melayu serta memberi pencerahan kepada umat Islam tanggapan salah yang telah ditanam oleh penjajah ke atas umat Melayu sehingga tenggelamnya tamadun hebat orang Melayu dengan mewar-warkan bahawa semua changi adalah budaya agama Hindu dengan menutup sejarah sebenar orang Melayu.

Program khas ini dibuat secara terpilih di mana ianya dihadiri seramai 50 orang terdiri dari NGO dan asatizah agamawan.

Dalam hal ini, PEMBELA yakin kerjasama di semua peringkat NGO, peranan Jabatan Mufti dan agamawan pondok, usaha pencerahan tamadun Melayu ini dapat diperluaskan dan disampaikan serta dijadikan silibus pembelajaran asas di sekolah rendah dan perincian di sekolah menengah.

Pengukuhan kerjasama ini mesti bertunjungkan kepada epistimologi Ahlussunnah wal Jamaah dengan mengambil kira peranan guru-guru pondok yang menyampaikannya melalui kitab-kitab turath selain bantuan kewangan dari Kerajaan tidak dinafikan sangat diperlukan untuk mencapai matlamat mengangkat jati diri orang Melayu.

PEMBELA turut dijemput dan menghantar wakil menghadiri program dan terlibat menjayakannya, dengan kehadiran Ketua Kluster Peradaban Melayu, Puan Sri Fatini binti Yaacob dan Timbalannya Haji Rashidi Haris manakala Bendahari PEMBELA Tuan Haji Syahnis terlibat secara langsung sebagai salah seorang pembentang kertas kerja mengenai waqaf.

Media PEMBELA
Kluster Peradaban Melayu

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: