Tempatan

Tak Masuk Akal Hakim Putuskan Perkataan Bapa Termasuk Ibu – Tun Abdul Hamid

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 23 September 2021 – “Bagaimana Hakim itu boleh memutuskan bahawa perkataan “bapa” juga termasuk “ibu” tidak masuk akal. Kanak-kanak umur dua tahun pun tahu perbezaan antara “bapa” dan “ibu” dan tidak pernah memanggil bapa kepada ibu dan sebaliknya. Masakan penggubal Perlembagaan dan Ahli-Ahli Parlimen yang meluluskan Perlembagaan itu kesemuanya tidak tahu perbezaan di antara “bapa” dan “ibu” atau terkeliru dalam menggunakan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b),” kata mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Ujar Tun Abdul Hamid dalam ulasannya mengenai hujah yang digunakan oleh hakim dalam kes penghakiman kerakyatan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara,

“Kita perlu mengambil ingatan terlebih dahulu bahawa tugas hakim adalah untuk membuat keputusan mengikut undang-undang, bukan untuk membuat atau meminda undang-undang untuk mencari remedy bagi sesuatu kes di hadapannya.”

Tegasnya, “Hakim hanya boleh mengguna undang-undang yang ada untuk memutuskan kes di hadapannya. Bahawa, pada pandangannya terdapat diskriminasi dan rungutan plaintif-plaintif yang disokong oleh pandangan awam tidak memberi kuasa kepada Hakim untuk meminda undang-undang atas nama “tafsiran” untuk memberi remedy kepada plaintif-plaintif”.

“Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, memberi penghakiman memihak kepada plaintif-plaintif yang bererti semua anak-anak dalam kategori tersebut adalah warganegara dengan kuat kuasa undang-undang.”

“Tetapi, beliau merujuk kepada Perkara 8 mengenai kesamarataan dan menghalang diskriminasi dan mengatakan bahawa peruntukan-peruntukan Perkara 14(1)(b), Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b) dan Perkara 8 sepatutnyalah ditafsirkan secara harmoni dan bertujuan (harmoniously and purposively) dan, memutuskan bahawa perkataan “bapa” hendaklah dibaca sebagai termasuk “ibu”. Oleh itu anak-anak kepada ibu-ibu itu juga berhak menjadi warganegara dengan kuat kuasa undang-undang.”

Menurut Tun Abdul Hamid, “kesilapan paling nyata yang dilakukan oleh Hakim Akhtar ialah menggunakan (apply) peruntukan Perkara 8 dalam “mentafsirkan” Perkara 14(1)(b) dan Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b). Sebenarnya, Perkara 8 tidak terpakai kepada Perkara 14(1)(b) dan Jadual Kedua, Bahagian ll, perenggan 1(b) kerana semua dikriminasi yang disebut dalam Perlembagaan adalah dikecualikan daripada operasi Perkara 8(2) dan dibenarkan. Atas alasan ini sahaja rayuan terhadap penghakiman itu patut dibenarkan”.

Tambahnya, “jika seorang Hakim berpendapat sesuatu undang-undang itu patut dipinda, beliau boleh mengesyorkannya dalam penghakimannya”.

“Saya pernah berbuat demikian dan ada cadangan saya yang Parlimen telah membuat pindaan-pindaan berkenaan. Bukanlah tugas Badan Kehakiman untuk menyelesaikan masalah Badan Perundangan dan Badan Perundangan tidak sepatutnya mengharapkan Badan Kehakiman menyelesaikan masalahnya. Dan Hakim tidak boleh mengambil alih bidang kuasa Parlimen kerana Hakim bukan Parlimen, dan sebaliknya.”

“Sesuatu penghakiman itu tidak semestinya betul semata-mata kerana kita sukakan hasilnya (result/outcome). Ia betul jika ia mengikut undang-undang yang terpakai pada masa itu,” kata Tun Abdul Hamid.

Leave a Reply

Back to top button