Tempatan

Tak Mahu Divaksin Tak Apa, Tapi Jangan Kempen Anti-Vaksin –Dr Adham Baba

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memberi amaran kepada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan suntikan vaksin Covid-19 supaya tidak menjalankan kempen menolak suntikan tersebut.

“Saya nak ingatkan kepada mereka yang tidak bersetuju, jangan kempen tidak bersetuju kepada orang lain kerana ini menyalahi kaedah kerana bila anda kempen untuk tidak (bersetuju) kepada orang lain, ini akan menyebabkan macam-macam tohmahan atau perkara yang mungkin tak dapat (dilaksanakan) dan ia menyalahi Akta 342.”

Ujarnya, setakat ini, sebanyak 67 peratus responden bersetuju untuk mengambil vaksin COVID-19 manakala 17 peratus kajian secara dalam talian mendapati mereka tidak pasti untuk menerima suntikan vaksin tersebut dan selebihnya tidak bersetuju untuk divaksin.

“(Selain itu), 16 peratus dalam kajian tersebut tidak setuju. Kita sudah menjalankan beberapa tindakan atau langkah-langkah untuk memastikan yang tidak pasti itu turn out to be pasti. Untuk itu dalam 67 peratus campur 17 peratus, bermakna kita ada 84 peratus masyarakat yang setuju menerima.”

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zuraini Ab Hamid berkata, golongan antivaksin yang kerap menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan juga boleh disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.”

Tegasnya, tindakan harus diambil bagi mengelakkan rakyat membuat keputusan salah berkaitan vaksin sehingga mengancam nyawa dan menggugat keamanan negara.

“Saya lihat isu ini harus disiasat dengan lebih terperinci sekiranya ia beri impak besar dan mengganggu-gugat keamanan negara dan timbulkan ketakutan kepada orang awam atau timbulkan ketidakpercayaan terhadap institusi kerajaan dalam isu berkaitan vaksin.”

Kerajaan akan melaksanakan Pelan Pelaksanaan Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan bermula 26 Februari 2021 ini di mana bekas pesakit Covid-19 juga turut terlibat.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button