Tempatan

Taikun Taja Broker Padi, Beras Tempatan ‘Bertukar’ Jadi Beras Import

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KANGAR, 07 Jun 2024 – Sejumlah syarikat besar atau taikun beras didakwa menaja kumpulan broker padi sekurang-kurangnya RM100 sehingga RM200 per tan untuk membawa padi kepada syarikat atau kilang-kilang besar terlibat.

Menurut sumber dalaman sebuah kilang beras, tawaran lumayan itu secara tidak langsung membuka ruang kepada golongan taikun yang dikatakan menguasai lebih 70 peratus bekalan beras negara itu memanipulasi proses pembungkusan yang menyaksikan beras tempatan ‘bertukar’ menjadi beras import selain dijual dengan harga lebih tinggi.

“Taikun-taikun ini yang taja dan sokong broker-broker padi ini. Disebabkan masalah itu juga, kilang-kilang kecil, pemborong-pemborong kecil ini ‘mati’.”

“Beras tempatan ini dijual sebagai import dan mungkin dalam satu peratus yang dipek sebagai beras tempatan dan dijual harga RM26.00 di program-program jualan.”

“Apabila melibatkan harga belian padi yang tinggi oleh broker dan syarikat atau kilang-kilang besar ini, kilang lain yang lebih kecil terpaksa mengikut rentak tersebut sekali gus menanggung kerugian,” katanya.

Keadaan itu didakwa menjadi penyebab mengapa lebih banyak beras putih import terdapat di pasaran berbanding beras putih tempatan walaupun hasil tuaian padi di seluruh negara masih tinggi pada setiap setiap musim.

Sementara itu, sumber berkenaan berkata, yang untung dalam situasi berkenaan sudah pastinya broker padi dan kilang-kilang besar terbabit yang menjual beras tempatan sebagai import.

Justeru bagi mengatasi masalah ini, katanya, kerajaan perlu menetapkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan dan menetapkan harga beras pada satu gred sahaja iaitu RM36 bagi berat 10 kilogram.

Katanya, cadangan tersebut sudah beberapa kali diutarakan namun masih tidak ada jalan penyelesaian sehingga kini.

“Jika tidak melaksanakan langkah tersebut, saya lihat isu ketiadaan beras tempatan ini akan terus berlarutan. Kalau dilihat di kedai-kedai atau pasaraya, mana ada lagi beras tempatan semuanya beras import,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: