Tempatan

Tahniah MPAJ Kerana Robohkan Bengkel Melayu Demi Pemaju – Pengusaha Bengkel

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini

ULU KLANG, 04 November 2021 – “Kesemua 15 bengkel pengusaha Melayu yang bertapak di tepi Sungai Sering telah dirobohkan dengan rakus oleh penguatkuasa demi memberi kelangsungan projek kepada pemaju Cina untuk mendirikan kondominium mewah di kawasan berkenaan.”

“Tahniah semua terutama kepada Penolong dan Pegawai Daerah Gombak, Penghulu Mukim, PDRM dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) serta semua anggota penguatkuasa yang terlibat kerana dengan jayanya telah merobohkan bengkel-bengkel pengusaha Melayu di sini dan mungkin mereka akan menerima pingat jasa bakti atas penganiayaan yang telah mereka lakukan pada kami tidak lama lagi,” luah wakil pengusaha bengkel Dr Abd Aziz Bin Mat Hassan dengan penuh kesal.

Menurutnya, deretan bengkel itu telah bertapak di situ hampir 26 tahun sebelum dirobohkan atas arahan ADUN Ulu Klang, almarhum Dato Fuad Hassan pada masa itu demi kelangsungan projek pemaju untuk mendirikan kondominium di kawasan tersebut.

“Mereka datang ke tempat kami pada pagi 27 Oktober 2021 kemudian meranapkan tempat kami berteduh dan tempat kami mencari sesuap nasi selama ini menggunakan jentera berantai dengan kekuatan hampir 500 orang pegawai dan anggota penguatkuasa kerajaan yang tidak mungkin kami dapat pertahankan dengan kudrat yang ada.”

Tambah Dr Abd Aziz, berikutan itu, semua pengusaha bengkel di situ telah mengalami trauma yang amat sangat setelah menyaksikan sendiri bagaimana pihak berkuasa meranapkan rumah dan bengkel-bengkel yang didirikan dengan cara berdikit-dikit menggunakan kudrat tulang empat kerat mereka tanpa sumbangan dari mana-mana pihak terutama dari pihak kerajaan yang memerintah.

“Kami semua faham yang kami semua menumpang di tanah milik kerajaan iaitu rizab sungai dan kami semua akan akur jika kami diarah mengosongkan tempat ini untuk tujuan pembangunan,” kata beliau.

“Tetapi kami semua pun ada hak untuk menuntut apa yang patut untuk kami kerana kami ada surat kebenaran dari pihak kerajaan untuk menduduki tempat ini dan paling tidak pun kami mempunyai hak iaitu hak ekuiti yang ada pada kami.”

Ujar Dr Abd Aziz, alasan yang digunakan MPAJ mengambil tanah rizab sungai itu adalah kononnya untuk membina sekolah, balai bomba dan sebagainya bagi kemudahan orang ramai.

“Padahal yang sebenarnya mereka ditekan oleh pihak pemaju yang mahu menyegerakan pembinaan kondominium di sini.”

Menurut beliau, dalam mesyuarat kali pertama pada tahun 2020 bersama MPAJ, Penghulu dan Pejabat Tanah kawasan itu, pihak-pihak tersebut berjanji akan mencari tempat sebelum kesemua pengusaha bengkel berpindah.

“Apabila kita minta hitam putih minit mesyuarat itu mereka tidak mahu beri dan kita terpaksa buat sendiri minit mesyuarat tetapi tidak diluluskan oleh pihak berkenaan.”

Bercerita lanjut Dr Abd Aziz berkata, pihak berkenaan kemudiannya berjanji kononnya ada satu lot tanah di Kemensah, namun rupanya tanah itu tanah cerun yang tidak boleh dilakukan sebarang pembinaan.

“Ini satu penganiayaan kepada kami, dan kami juga telah membuat laporan polis mengenai hal itu.”

Satu lagi minit mesyuarat kemudiannya dihantar kepada MPAJ dan dipersetujui pada Ogos 2021 tetapi pihak berkenaan cuma menghantar minit mesyuarat itu kepada peguam pihak pengusaha bengkel pada hari perobohan dilakukan iaitu pada 27 Oktober 2021.

“Dalam minit mesyuarat itu kita diberitahu satu kawasan baharu akan diwartakan sebagai ganti untuk tapak bengkel yang akan diambil oleh kerajaan,” ujarnya.

“Apabila kami melantik peguam, Pejabat Tanah dan MPAJ semacam merajuk pula dan tidak mahu bekerjasama, kononnya hal kecil sahaja dan tidak perlu diperbesarkan.”

“Tetapi, disebabkan desakan Adun berkenaan, kami akur dan menulis surat menyatakan kita akan putuskan urusan dengan peguam tetapi kita meletakkan beberapa syaratnya termasuklah penangguhan perobohan, pampasan, hitam putih untuk tapak baru”.

Namun, sehingga kini, pihaknya langsung tidak pernah menerima walau sekeping surat pun bercopkan Pejabat Tanah sehinggalah bengkel mereka dirobohkan dalam sekelip mata sahaja.

Atas sebab ini, “kami semua merayu dan merintih kepada badan yang berwajib untuk tampil dan membela nasib kami semua kerana ada di antara kami yang menumpang teduh di masjid, rumah saudara dan sahabat handai selepas bengkel yang menjadi rumah kami ini dirobohkan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: