Tempatan

Voon Lee Shan Failkan Tuntutan Mohon Sarawak Dibenarkan Keluar Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SARAWAK, 17 Mac 2022 – Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan yang memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuching tahun lalu memohon beberapa pengisytiharan termasuk Sarawak dibenarkan keluar Malaysia, dengan sebab pelanggaran Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Tuntutan yang difailkan oleh 11 aktivis pro-kemerdekaan dan hak negeri, diketuai Dorus Katan Juman adalah untuk mengisytiharkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai perjanjian tidak sah.

Menurut Voon Lee Shan yang juga ahli politik pro-kemerdekaan Sarawak, tuntutan itu dibuat supaya rakyat Sarawak dan Sabah, “Tahu apa yang berlaku kepada kita”.

Dalam pada itu, menurut peguam di Majlis Peguam Sarawak itu dalam satu kenyataan, jika mahkamah mengisytiharkan MA63 tidak sah, maka “Malaysia patut dipecahkan.”

Voon Lee Shan menyerahkan writ pindaan dan penyata tuntutan kepada defendan – Putrajaya, Kerajaan British dan Sarawak – baru-baru ini, walaupun tuntutan tersebut telah difailkan November lalu.

Walau bagaimanapun, selepas pengurusan kes pertama di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew Selasa lalu, Putrajaya dan Kerajaan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa mereka akan membuat permohonan menolak tuntutan itu.

Voon Lee Shan berkata, “Sukar untuk meyakinkan saya yang Sabah dan Sarawak bukan tanah jajahan Tanah Melayu,” kecuali hanya digabungkan untuk meluaskan jajahan Tanah Melayu melalui Perjanjian Malaysia 1963.

“Daripada kajian saya, Sabah dan Sarawak digabungkan oleh Tanah Melayu untuk meluaskan jajahan Tanah Melayu melalui Perjanjian Malaysia 1963.”

Tambah Voon Lee Shan, selepas berdekad lamanya di Malaysia, ramai rakyat Sarawak sedar penyatuan dengan Tanah Melayu tidak banyak membantu menaikkan taraf hidup kebanyakan rakyat Sarawak malah Sarawak kekal menjadi negeri tidak membangun dan miskin di Malaysia.

Lebih menyedihkan, penyatuan tersebut menyebabkan Sarawak hilang aset paling penting, minyak dan gas, menerusi undang-undang kontroversi yang diluluskan iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74).

Sementara itu, aktivis hak negeri Dominique Ng memaklumkan bahawa kebanyakan daripada plaintif tuntutan pengisytiharan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terdiri daripada pemimpin dan ahli Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA), iaitu satu kumpulan pendesak kemerdekaan.

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu, YB Priscilla Lau, Setiausaha Agung Parti Bumi Kenyalang turut menyeru rakyat Sarawak untuk mengundi Parti Bumi Kenyalang, supaya mereka dapat menunjukkan bagaimana untuk memperjuangkan kemerdekaan negeri Sarawak sebagai sebuah negara.

“Negara Sarawak boleh merdeka! Sarawak merdeka!” tegas beliau.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: