Tempatan

Skandal 887 Hektar Hutan Simpan Bukit Lagong, Otai Reformis Gesa SPRM Siasat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 10 Oktober 2022 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk menyiasat kewujudan kartel kuari di Hutan Simpan Bukit Lagong berikutan terdapat unsur mengaut keuntungan atas angin melibatkan empat syarikat yang diberikan kerja-kerja di lokasi tersebut.

Menurut Setiausaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Otai Reformis, Abdul Razak Ismail, berdasarkan semakan pihaknya mendapati kawasan kuari seluas 887 hektar itu telah ‘dianugerahkan’ kepada 27 syarikat termasuk dari Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Berhad.

“Hasil semakan, kita mencurigai apabila terdapat empat syarikat hanya bermodalkan antara RM2 hingga RM100 boleh mendapatkan tanah itu.”

“Kalau kapital (modal) hanya RM2 dan RM3, nak bayar gaji termasuk pegawai keselamatan dan persekitaran bagaimana? Nak beli basikal pun tidak dapat. Jadi, jelaslah bahawa ada yang untung atas angin sahaja sebelum jual kepada pihak ketiga,” katanya.

Selain itu, katanya timbul juga konflik kepentingan, ekoran bagaimana penjaga kepada hutan namun memberikan tanah untuk koperasi.

“Jabatan Perhutanan sepatutnya menjaga terutama hutan simpan dan bukan dapat untung dari hasil kuari dengan ‘membantai’ hutan ini,” katanya.

Di samping itu, Razak juga mempersoalkan penglibatan MBI dalam hal ini.

“Kenapa MBI ada kuari sedangkan MBI adalah agensi pelaburan bukan operator kuari?” soalnya.

Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan pemberian kepada salah sebuah syarikat yang pengarah dipercayai adalah penyokong Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menambah, bagaimana seorang penyokong kepada pemimpin yang melompat parti masih diberi konsesi tersebut.

“Hendak tanya (Datuk Seri) Amirudin bagaimana orang yang lompat parti diberikan kuari. Adakah masih baik dengan Azmin?”

“Mereka (penyokong Azmin) itu tiada pengalaman dalam bidang kuari dan hanya ahli politik di cabang Gombak dan kita tahu latar belakang mereka. Mungkin mereka terlibat disebabkan keuntungan atas angin,” jelasnya.

Sehubungan itu, Abdul Razak menegaskan pihaknya mempertikaikan pertimbangan Jabatan Perhutanan dalam pemberian dan penilaian terhadap syarikat-syarikat tersebut.

“Loy Sian ( Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor) dalam sesi Dewan Undangan Negeri sebelum ini menyatakan hanya lapan syarikat telah beroperasi.”

“Kenapa tidak dedahkan atau sembunyikan telah meluluskan 19 lagi syarikat?” soalnya.

Sebelum ini, samudera.my pernah melaporkan Hutan Simpan Bukit Lagong kini dijual pada harga RM150,000 seekar dan didakwa bakal digondol dengan lebih luas untuk projek kuari.

Susulan itu, Otai Reformis juga pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan hal ini dengan menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim mewujudkan jawatankuasa inkuari bagi menyiasat apa yang dinamakan sebagai “pembelasahan” dan “pembalunan” hutan simpan di Selangor.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: