Tempatan

PDRM Kenal Pasti 190 Kawasan Panas Menjelang PRN 6 Negeri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 08 Julai 2023 – “Kita telah mengenal pasti sebanyak 190 kawasan panas di enam negeri yang akan diadakan PRN pada 12 Ogos 2023 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujar Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid dalam sebuah sidang media kelmarin.

Menurutnya, kesemua kawasan panas yang dikenal pasti berpotensi terjadi kekecohan dan provokasi semasa kempen pilihan raya dan semasa hari mengundi nanti.

Maklum beliau, di Selangor sahaja, terdapat 70 kawasan panas, diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing 16 kawasan panas manakala dua kawasan panas dikesan di Pulau Pinang.

BACA JUGA: Pemilik Crackhouse Comedy Mengaku Salah, Didenda RM8,000

BACA JUGA: e-Negarawan: Teroka Sejarah Negara Dengan Kod QR

BACA JUGA: Threads Dilabel Pesaing Twitter, Daftar 30 Juta Pengguna

Dalam kenyataan sama, Razarudin menyatakan Selangor mempunyai 14,000 pegawai dan anggota namun kontinjen itu akan menerima anggota tambahan seramai 2,000 orang.

“Kesemua mereka akan memulakan tugas masing-masing di lapangan tiga atau empat hari sebelum proses penamaan calon bermula sehingga selepas hari mengundi 12 Ogos nanti,” katanya.

Tambah beliau lagi, Bukit Aman khususnya pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas akan memantau rapat segala aktiviti dan pergerakan di kawasan berkenaan untuk memastikan PRN kali ini berjalan lancar dan menjamin keselamatan pengundi.

“Kami (PDRM) mahu memastikan rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka iaitu hak mengundi tanpa rasa risau.”

“Dalam soal ini, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil polis terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekecohan semasa proses kempen dan PRN. Pada masa yang sama, kita akan menggerakkan pasukan sedia ada secara optimum ke semua enam negeri dengan memastikan tidak berlakunya pembaziran tenaga.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: