Tempatan

Gurauan Minta Nombor Telefon, Aksi Tak Wajar – MP Tumpat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KENYATAAN MEDIA

AHLI PARLIMEN PAS

الناس على دين ملوكهم

Kata bijak pandai, rakyat itu akan menurut kebiasaan pemimpinnya.

Pada saat Parlimen telah meluluskan Akta Anti-Gangguan Seksual 2022, rakyat Malaysia terkesima apabila melihat video yang tular semalam. Moleklah negara kita ada akta ini. Rupa-rupanya, akta ini memang wajar diwujudkan untuk melindungi rakyat dan negara. Maruah wanita seakan-akan diguris dan dilambung di depan khalayak ramai.

Sebagai rakyat Malaysia, kita kecewa dan terkesan dengan sikap sebegini. Apakah motif dan objektif kata-kata seperti ini ketika ekonomi dan negara di ambang kegawatan? Tindakan wewenang “menyakat” atau disebut bergurau seperti ini seolah-olah serangan lisan dengan meminta nombor telefon peribadi adalah aksi tidak wajar dan tidak harus dibiarkan berlanjutan.

Pertanyaan sebegitu adalah anti klimaks dan secara psikologi, boleh dianggap counter attack untuk meredakan emosi sendiri. Perbuatan tersebut tidak seharusnya dilakukan oleh seorang pemimpin kepada rakyatnya, apatah lagi untuk anak seusia cucu ini.

Meluahkan keterujaan atas keberanian dan bijaknya anak muda itu normal. Namun, gurauan dengan konotasi begini, sama ada terbuka atau tersirat, adalah tidak kena. Salah orang, salah bahasa dan salah tempat. Bak peribahasa “bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar”.

Pemimpin yang menyantuni anak muda adalah dialu-alukan. Semua harus sedar apabila berada pada satu tahap sebagai orang atasan, di mana-mana posisi pun, sama ada negara, negeri hatta desa, kita harus memiliki dan patuh kepada etika dan akhlak apabila berbicara. Tambahan lagi, ketika berhadapan dengan anak muda berpemikiran serius dan aras tInggi.

Rakyat tentunya sama sekali tidak menantikan satu gurauan seksis dan bentuk didikan yang kurang sopan terutama kepada anak gadis. Ia menyebabkan penanya dan wanita lain rasa tercabar, maruah sebagai wanita muda terasa diperolokkan, dipermainkan dan menimbulkan rasa tidak selamat.

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا٢١﴾

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kalian pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (rahmat) Allah dan (balasan baik) pada Hari Akhirat, serta dia juga menyebut-nyebut dan mengingati Allah sebanyaknya (ketika masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab: 21)

Janganlah nanti dunia meremehkan negara kita lantaran dipimpin oleh karakter yang berterusan dalam mood dan nada “bersenda” tak kenal masa dan ketika.

Tugas pemimpin ialah menyuburkan jiwa anak muda yang sedang berkobar-kobar ingin mendapat jawapan untuk meredakan kedukaan rakyat bukan membunuh rasa jiwa yang ingin bertanya dan membutuhkan jawapan tuntas. Lantas, anak muda lain yang sudah sedia pemalu akan lebih merasa malu, segan dan hilang keyakinan untuk tampil bertanya selepas ini.

Kesannya ketara, yang pertama apabila pengacaranya juga terus menyambut dan melanjutkan “seloroh biawak” pada saat satu negara menanti jawapan soalan yang sangat meresahkan rakyat , hala tuju negara dan nilai ringgit. Bapa borek anak rintik.

Sudah-sudahlah bergurau dan menari tak kena tempat! Rakyat perlukan bapa dan pemimpin sebagaimana Nabi Ibrahim untuk jadi contoh keluarga, berikan kami solusi untuk ekonomi dan negara!

Salam sejahtera dan Selamat Menyambut Idil Adha 1444H! Maaf Zahir dan Batin.

YB DATO MUMTAZ BINTI MD NAWI
Ahli Parlimen Tumpat

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: