Tempatan

Agong Bakal Rasmikan Program Pemerkasaan Komuniti COVID-19

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa join Telegram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

KUALA LUMPUR, 20 Mac 2021 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan program Pemerkasaan Komuniti serta menyampaikan Titah Diraja pada 29 Mac ini secara siaran langsung di saluran televisyen.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim, Pemerkasaan Komuniti digerakkan bagi menangani pandemik COVID-19.

“Antara inti pati program tersebut adalah untuk memaklumkan kepada masyarakat agar bersama-sama menjaga komuniti sekeliling dan keluarga masing-masing daripada risiko jangkitan COVID-19.”

Ulasnya, antara aktiviti Pemerkasaan Komuniti adalah penubuhan agen basmi COVID-19 (ABC-19), pertandingan kampung atau komuniti bandar zon hijau serta membantu pendaftaran vaksinasi untuk komuniti di pedalaman yang sukar dicapai oleh kumpulan lain dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Pertandingan komuniti zon hijau COVID-19 akan dilaksanakan selama enam bulan bermula 1 April ini hingga 30 September untuk menjaga dan memastikan kawasan masing-masing bebas daripada risiko jangkitan COVID-19.”

“Kampung atau komuniti terbaik akan menerima hadiah berbentuk peruntukan bagi tujuan pembangunan,” katanya.

Tambah Aminuddin, NADMA diberi tanggungjawab untuk menambah pendaftaran penerimaan vaksin khusus di kawasan pedalaman dengan menggunakan kekuatan pengaruh ketua komuniti.

“Kita harus bersedia untuk memastikan kumpulan yang tiada telefon bimbit dan berada di kawasan pendalaman berpeluang untuk divaksinasi,” katanya, serta menambah masalah tiada hubungan internet atau telefon bimbit khususnya di kawasan pedalaman telah menarik keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“NADMA juga akan berjumpa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada 23 Mac ini bagi mendapatkan bekerjasama dan kepakaran NGO untuk mendekati komuniti serta menghebahkan cara terbaik untuk bersama-sama menjaga daripada risiko COVID-19,” katanya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: