Tempatan

Majlis Raja-Raja Berperanan Lantik Ahli JAC – Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Disember 2022 – Majlis Raja-Raja seharusnya berperanan melantik ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan.

Lapor berita tempatan, Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi berkata peranan tersebut harus diberi bagi memastikan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif dan kehakiman dapat mencerminkan tadbir urus lebih baik.

“Tidak semestinya tiga tempat dalam JAC perlu diagihkan secara khusus setiap satu kepada wakil Majlis Peguam, Persatuan Peguambela Sarawak dan Persatuan Undang-Undang Sabah.”

“Ada baiknya kuasa melantik itu diberikan kepada Majlis Raja-Raja dengan mengambil kira adanya wakil daripada pengamal undang-undang selepas mengambil kira usul daripada tiga badan berkenaan serta calon dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Majlis Raja-Raja sendiri,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mencadangkan pelantikan lima daripada sembilan ahli JAC tidak lagi dilakukan oleh Perdana Menteri.

Sebaliknya, baginda bertitah, pelantikan itu diserahkan kepada beberapa institusi seperti Jawatankuasa Pemilih Parlimen, Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguambela Sarawak.

Berhubung titah saranan itu, Wan Ahmad Fauzi berpendapat ia merupakan satu pendekatan baik dan tidak mengubah kerangka sedia ada dalam pelantikan hakim di sisi Perlembagaan.

“Ini kerana peranan JAC tidak boleh bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan dalam pelantikan hakim yang masih memerlukan Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan MRR,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, pengamal undang-undang, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, titah saranan Tuanku Muhriz perlu dikaji secara mendalam dan wajar dirunding dengan pihak berkepentingan.

Hal ini disebabkan titah itu jelas untuk mengurangkan pemusatan kuasa Perdana Menteri dan ia seharusnya diteliti pengamal undang-undang secara menyeluruh.

Khairul Anwar turut mencadangkan penambahbaikan proses pelantikan iaitu dengan pindaan akta di Parlimen dan memasukkan beberapa pengukuhan proses pelantikan supaya tidak semata-mata secara pentadbiran.

Namun begitu, katanya, ia mesti ada panduan dan termaktub dalam undang-undang bahawa Perdana Menteri perlu berunding dengan pihak berkecuali sebelum memutuskan ahli JAC.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: