Tempatan

Teks Sahih Perlembagaan Dalam BM: DBP Sambut Baik Cadangan Peguam Negara – Datuk Seri Dr Awang Sariyan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 10 Januari 2023 – Cadangan yang diumumkan oleh Peguam Negara Tan Sri Dato’ Seri Idrus Azizan@ Harun untuk mengangkat teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu sebagai teks sahih dan berotoriti sudah lama dinanti-nantikan dan turut disambut baik oleh pihak Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP).

Ramai pihak melahirkan kegembiraan dan bangga dengan keprihatinan yang ditunjukkan Peguam Negara itu terhadap kepentingan Bahasa Melayu untuk diiktiraf sebagai teks sahih Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, pengumuman Peguam Negara Tan Sri Dato’ Seri Idrus Azizan@ Harun untuk mengangkat teks Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu sebagai teks sahih merupakan perkembangan yang amat baik dan ditunggu-tunggu sekian lama.

Menurutnya, kira-kira 20 tahun badan dan tokoh pejuang bahasa telah menyuarakan perkara itu tanpa jemu-jemu bagi memastikan kelestarian bahasa Melayu terus diperkukuhkan.

“Semoga usaha Jabatan Peguam Negara dapat disegerakan untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya kepada Wartawan Samudera.my di sini, semalam.

Mengulas lanjut Dr Awang Sariyan berkata, sudah tentu keputusan dibuat itu dapat meningkatkan lagi martabat Bahasa Melayu yang sah sebagai bahasa negara, berbanding dengan teks sahih dalam Bahasa Inggeris.

Jelasnya, Negara telah merdeka lebih 65 tahun maka amat wajar saki-baki penjajahan diketepikan dan kita harus berfikir, menafsirkan dan melaksanakan peruntukan Perlembagaan berdasarkan falsafah, nilai dan pandangan sarwa kira sendiri.

Terdahulu, Peguam Negara, Idrus Harun mengeluarkan kenyataan bahawa Pejabat Peguam Negara akan mencadangkan kepada Kerajaan versi Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Malaysia sebagai teks berotoriti.

Pejabat itu juga merancang mencetak semula Perlembagaan Persekutuan bagi memasukkan pindaan “bersejarah” yang digubal, baru-baru ini seperti Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik, yang digazetkan pada 1 Disember 2021.

“Dua cadangan ini tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada majlis pembukaan tahun perundangan 2023, yang lalu.

Samudera.my sebelum ini juga pernah melaporkan kenyataan-kenyataan yang dibangkitkan oleh para pejuang bahasa, peguam Melayu dan NGO mengenai isu teks sahih Perlembagaan Persekutuan yang masih lagi di dalam Bahasa Inggeris dan mahu ia segera ditukarkan kepada Bahasa Melayu.

Justeru, pengumuman ini adalah berita gembira buat negara khususnya pejuang dan pencinta bahasa bahawa perjuangan meletakkan teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Kebangsaan akan menggantikan teks sahih dalam Bahasa Inggeris akan menemui kejayaan dan kini cuma menunggu perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong saja.

Sebagai tambahan, perkara itu sudah dilaporkan sejak tahun 2003 lagi setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 2001 dilaksanakan dengan menambah Perkara 160B.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: