Tempatan

PN Kemuka Tiga Soalan Untuk Dijawab PM Minggu Hadapan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 04 Jun 2023 – Perikatan Nasional (PN) mengemukakan tiga soalan untuk dijawab oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat minggu hadapan.

Menurut berita tempatan, Sekretariat Parlimen PN telah pun menghantar soalan tersebut pada 01 Jun 2023 kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk dimasukkan ke dalam Aturan Urusan Mesyuarat pada 06 Jun 2023.

Bagaimanapun, soalan yang bakal dijawab oleh Perdana Menteri akan disenarai pendek dan dipilih oleh pihak Kerajaan.

Sekretariat memaklumkan, antara soalannya ialah berkaitan isu kalimah Allah di mana ia dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu yang juga bekas Menteri Parlimen dan Undang-Undang, YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

BACA JUGA: Minggu Epidemiologi 21: Tiga Kematian Akibat Demam Denggi Direkodkan

BACA JUGA: Kalimah Allah: PN Kemuka Akta Tafsiran

BACA JUGA: Skim Perubatan Madani Akan Bermula 15 Jun Ini

Di dalam soalan tersebut, beliau meminta perincian daripada Perdana Menteri berkaitan proses Kerajaan dalam menarik balik rayuan di mahkamah berhubung isu kalimah Allah baru-baru ini.

Ia termasuklah soal bilakah tarikh rundingan serta rujukan kepada Majlis Raja-Raja Melayu di mana adakah ia sebelum atau selepas daripada tindakan Kerajaan menarik balik rayuan kes terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Selanjutnya ialah bagaimana kaedah rujukan Kerajaan dengan Majlis Raja-Raja Melayu dalam hal penarikan rayuan kes tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Md Jidin pula mengemukakan soalan berhubung kesan kejatuhan nilai ringgit terhadap proses pemulihan ekonomi negara serta pendekatan Kerajaan untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Manakala, soalan terakhir pula adalah dari Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim yang menyentuh isu perolehan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Kementerian Pertahanan iaitu siapakah yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek LCS serta kewajaran Kerajaan dalam menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: